Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menghadiri majlis perasmian pesawat kargo A321 milik Teleport di sini.
Ketibaan pesawat itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan Teleport, cabang logistik Capital A Bhd sebagai penyedia logistik udara dan pemain industri kargo yang terkemuka di ASEAN.
Pada majlis itu, Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah kepada Capital A Bhd dan Teleport serta berharap perkhidmatan logistik mereka akan terus berkembang dan menguasai rantau Asia Tenggara.
“Pesawat kargo A321F milik Teleport menonjolkan keupayaan syarikat Malaysia sebagai jaguh di rantau ini dan yang lain harus mencontohi kejayaan mereka,” titah Al-Sultan Abdullah.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes; dan Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak. – BERNAMA