Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook melancarkan video yang dihasilkan dengan sempurna semalam bagi pelancaran iPhone baharu, memberi bayangan mengenai masalah yang luar biasa yang dihadapi oleh syarikatnya termasuk pembalikan polisi, serangan spyware dan pertikaian undang-undang.
Daripada auditorium kosong dan gelap, Cook memberi penerangan mengenai kamera yang ditingkatkan, skrin yang lebih cerah dan ciri baru untuk beberapa peranti gergasi Silicon Valley yang lain seperti iPad.
“Ini adalah iPhone terbaik yang pernah kami hasilkan,” kata Cook, sambil menjelaskan usaha Apple merancang dan menghasilkan produk dan perkhidmatan terbaik bagi memperkayakan kehidupan pengguna.
Namun, beberapa masalah yang memuncak menjadi perbincangan umum mengenai salah satu syarikat paling berharga di dunia itu.
Ia susulan pertikaian yang panjang terhadap pasaran aplikasi dalam taliannya, yang mana minggu lalu seorang hakim memerintahkan Apple membenarkan pembangun untuk mengetepikan komisen besar dalam pembelian.
Begitupun, Apple masih memiliki jangkauan besar dalam dunia digital dan seterusnya, dan bernilai lebih dari AS$ 2 trilion (RM8.34 trilion).
Peminat Apple gembira dengan keluaran produk yang diperbaharui semalam, termasuk penganalisis Daniel Ives yang menyatakan ‘supercycle untuk Cupertino’ merujuk kepada California yang menjadi ibu pejabat Apple.
“Apple kekal di tengah-tengah kitaran produk terkuatnya dalam tempoh hampir sedekad,” tambahnya.
Rangkaian iPhone 13 merangkumi empat model, dari versi Mini hingga Pro Max, dengan harga yang sama dengan iPhone 12 yang dilancarkan tahun lalu.
Kamera dan bateri iPhone 13 lebih kuat, dan keupayaan 5G akan diperluas ke lebih dari 200 pengendali mudah alih di 60 negara dan wilayah pada akhir tahun ini.
Model baharu – iPhone 13, iPhone 13 mini, iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max itu dilancarkan dalam satu acara yang dikenali sebagai California Streaming, awal pagi tadi.
Dari segi reka bentuk, ia hampir sama dengan iPhone 12, namun memiliki cip yang lebih pantas dan sistem kamera yang dipertingkatkan.
Syarikat itu berkata, model itu akan masuk ke pasaran Malaysia bermula Oktober ini.
Katanya, pra-tempahan bagi siri model iPhone 13 itu boleh dibuat bermula 1 Oktober ini dan stok boleh didapati mulai 8 Oktober.
Senarai harga yang diumumkan adalah seperti berikut:
iPhone 13 mini dengan skrin 5.4 inci
128GB – RM3,399
256GB – RM3,899
512GB – RM4,799
iPhone 13 dengan skrin 6.1 inci
128GB – RM3,899
256GB – RM4,399
512GB – RM5,299
Pelanggan, katanya, boleh membeli barisan model baharu iPhone 13 daripada apple.com/my/store, menerusi Apple Store app.
Ia juga boleh didapati daripada pengedar sah Apple. – AFP/BH