Bank Islam Malaysia Bhd melantik Azdini Nor Azman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas bagi anak syarikat milik penuhnya, BIMB Investment Management Bhd berkuat kuasa 1 Ogos 2023.
Bank Islam dalam satu kenyataan hari ini berkata, Azdini menyertai BIMB Investment sebagai Pemangku CEO pada 1 Mac 2023 dan dilantik ke jawatan CEO setelah menerima kelulusan rasmi daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Azdini mempunyai pengalaman luas selama 26 tahun dalam industri yang merangkumi pelbagai organisasi termasuk Asian Islamic Investment Management Sdn Bhd, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CFC Seymour Limited, Bank Islam Malaysia Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad and Amanah Short Deposits Berhad,” kata bank itu.
Beliau kini ahli Jawatankuasa Kecil Pasaran Kewangan Islam Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun 2022-2023.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan–Perbankan Institusi Bank Islam dan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas BIMB Investment, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir melahirkan keyakinan Azdini akan mengemudi BIMB Investment dalam mengharungi cabaran landskap sektor kewangan yang pesat berubah dan memanfaatkan peluang baharu selain membawa syarikat ini ke tahap lebih tinggi serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pemegang kepentingan. – BERNAMA