Pengeluar kereta nasional, PROTON menandatangani perjanjian untuk melantik CMH Group sebagai pengedar kenderaan Proton di Afrika Selatan, yang akan menyaksikan penghantaran pertama model import sepenuhnya mula dijual pada September.
Menurut syarikat itu, model Proton X50 dan Proton X70 akan mendahului jualan di sana, diikuti Proton Saga, yang kembali ke negara itu selepas 10 tahun jualannya berakhir pada 2012.
“PROTON yakin dengan prospek jualannya di Afrika Selatan, mengunjurkan jualan yang kukuh bagi tahun ini dan menyasarkan lebih daripada dua kali ganda jumlahnya pada 2023.
“Bagi suku pertama tahun ini, jumlah jualan eksport meningkat sebanyak 175 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
“Justeru itu, kami mengeksploitasi kekuatan produk baharu, jenama dan juga hubungan Malaysia dengan negara-negara lain untuk bertapak di pasaran baharu.
“Ini kemudiannya diperkukuhkan dengan mewujudkan operasi KD di mana-mana yang berpotensi, yang juga dapat membantu mengembangkan ekonomi tempatan,” katanya. -BERNAMA