GovernansMalaysiaPilihan Editor

Bajet 2022 Peruntuk RM332.1 bilion

Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, dibentangkan dengan jumlah RM332.1 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan dokumen penting itu tepat pada jam 4.05 petang tadi, turut menggariskan tiga fokus induk yang merangkumi rakyat yang sejahtera, perniagaan berdaya tahan dan ekonomi makmur serta mampan.

Berteraskan penekanan sedemikian, katanya, kerajaan bercadang membahagikan peruntukan belanjawan tahun depan kepada empat komponen utama.

“Ia meliputi belanja mengurus sebanyak RM223.5 bilion, RM75.6 bilion bagi belanja pembangunan, RM23 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19 dan RM2 bilion dikategorikan sebagai simpanan luar jangka.

“Mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, di samping jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi 2022 kepada RM234 bilion, kerajaan akan terus menyediakan bajet yang mengembang,” katanya pada pembentangan Bajet 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Seperti tahun lalu, katanya, Bajet 2022 dirangka dengan mengekalkan tradisi keterbukaan pasukan Kementerian Kewangan (MOF) hasil siri turun padang dan jelajah negeri, perbincangan bersama lebih 30 sesi kumpulan fokus, selain mengkaji lebih 1,100 memorandum dan penerimaan hampir 50,000 cadangan melalui portal Bajet 2022.

“Lebih bermakna, Bajet 2022 dirangka selepas 80 sesi sumbang saran bersama ahli Yang Berhormat merentasi doktrin politik, tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang. Kita semua bermusyawarah, bertukar-tukar pandangan dan sama-sama memikir kemaslahatan negara.

“Tidak cukup dengan itu, bagi meningkatkan ketelusan penyediaan bajet tahunan, buat julung kalinya pasukan MOF menerbitkan kenyataan Prabajet 2022 dan empat kertas konsultasi awam merangkumi topik berhubung penambahbaikan perolehan kerajaan, pemberian bantuan tunai, insentif cukai serta tanggungjawab fiskal.

“Saya rakamkan jutaan penghargaan kepada semua pihak yang meluangkan masa dan mengemukakan idea serta pandangan. Pada kami di MOF, inilah bukti kebersamaan kita dalam mengharungi hari-hari mendatang sebagai sebuah keluarga.

“Tahun hadapan, tumpuan kita semestinya adalah untuk memulih semula setiap segmen sosioekonomi negara. Usaha untuk membina daya tahan turut digerakkan bagi mengukuh keupayaan perniagaan dan sistem kesihatan dalam mendepani cabaran mendatang.

“Akhirnya, melangkah ke hadapan, instrumen pembaharuan akan mula dilaksana supaya seiring landskap dunia teknologi tanpa sempadan serta agenda kelestarian,” katanya. – BH ONLINE/BERNAMA/BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close