Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
“Bantulah…agar memberi manfaat kepada komuniti,” itu kata-kata seorang menteri yang merasai nadi denyut dan susah payah rakyat.
“Dengan ada bantuan seumpama ini akan memberi kesan positif dalam kehidupan penerima (rakyat).
“Saya akan terus berusaha untuk menjalankan program-program bantuan lain yang dapat memberi manfaat kepada komuniti di Parlimen Batu Gajah.
“Semua pihak harus bekerjasama dalam membangun sebuah masyarakat yang lebih bersatu, sejahtera, dan membantu mereka yang memerlukan dalam komuniti setempat,” ujar menteri.
Itulah Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar yang tidak lupa dengan pengundi dan rakyat kawasan parlimennya terutama golongan yang memerlukan bantuan dan diambil tahu wakil kawasan parlimen mereka.
Di samping itu, Sivakumar turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada penduduk kawasan Jelapang yang hadir dalam Program Penyerahan Bakul Makanan B40 atas sokongan terhadap program ini.
Keberadaan mereka telah memberikan inspirasi dan semangat kepada semua untuk terus bekerjasama dalam membantu mereka yang memerlukan terutama di waktu pemulihan ekonomi dan mendepani kelangsungan kehidupan yang sangat mencabar.
Pada program berkenaan, seramai 300 penduduk Jelapang telah mendapat sumbangan berbentuk bakul makanan daripada Ahli Parlimen Batu Gajah.
Program Bakul Makanan merupakan inisiatif Ahli Parlimen Batu Gajah bagi menterjemahkan usaha murni Kerajaan MADANI membantu meringankan golongan B40 di kawasan Jelapang Parlimen Batu Gajah.
Selain itu, bantuan tersebut juga dirancang khusus untuk membantu masyarakat dari pelbagai latar belakang etnik yang tergolong dalam kumpulan B40 untuk memastikan setiap keluarga menerima bantuan makanan keperluan asas dalam kehidupan seharian mereka. – BACALAHMALAYSIA.MY