Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd menawarkan kaedah pembayaran e-dompet di semua medan seleranya untuk membantu penjual makanan dan minuman (F&B) tempatan bersaing di pasaran digital yang semakin berdaya saing.
Ketua Pegawai Operasi Tesco, Sushmita Paul, berkata inisiatif itu dapat memastikan keselamatan tambahan bagi pelanggan kerana dapat mengurangkan kontak hubungan melalui bayaran tanpa tunai.
“Tesco juga menyokong matlamat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah masyarakat tanpa tunai.
“Kami berbesar hati untuk menawarkan pembayaran e-dompet di medan selera kami kerana bukan sahaja ini membolehkan penjual F&B kami bersaing di ruang pasaran yang semakin digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Sushmita berkata, menurut Kajian Impak Mastercard yang diterbitkan pada Jun tahun ini, COVID-19 telah mempercepat penggunaan e-dagang, pembayaran digital dan pilihan untuk aktiviti dalam talian.
“Laporan ini menyatakan bahawa penembusan e-dompet Malaysia sebanyak 40 peratus adalah yang tertinggi di Asia Tenggara, di mana e-dompet menjadi pilihan pembayaran utama bagi mereka yang berusia bawah 35 tahun,” katanya.
Walaupun Tesco terkenal sebagai peruncit mesra rakyat yang menawarkan nilai hebat dengan harga yang berpatutan, ia juga sebenarnya menjadi antara pengusaha medan selera terbesar di negara ini.
Sehingga September 2020, Tesco mengendalikan 56 medan selera yang terletak di dalam cawangannya di seluruh negara.
Sushmita berkata, bagi membantu pelanggan untuk menguruskan kos sara hidup dalam mengharungi wabak COVID-19, Tesco juga memperkenalkan juadah makanan dengan harga permulaan serendah RM5.00 di semua medan seleranya.
“Sebagai peruncit, salah satu fokus terbesar kami adalah untuk membantu pelanggan kami menguruskan kos hidup seharian mereka, dan ini juga diperluas ke medan selera kami.
“Kami tahu bahawa pelanggan kami mengambil berat tentang perbelanjaan mereka, tetapi ini tidak bermakna bahawa mereka tidak boleh makan dengan baik.
“Dengan juadah makanan kami bermula dari harga serendah RM5.00, sebuah keluarga boleh menjamu selera tanpa berbelanja besar,” katanya.
Medan selera Tesco kini menerima pembayaran dari enam e-dompet berbeza iaitu Boost, GrabPay, kiplePay, Touch n Go, MCash, AliPay dan juga Maybank QRPay.
Ia juga menerima kaedah pembayaran yang lebih tradisional seperti tunai, kad debit dan kredit. – BERITA HARIAN