Walaupun baru berusia tujuh tahun, anak bongsu daripada tiga beradik memilih menjual aiskrim Malaysia di hadapan rumahnya di Kampung Paya Datu, Manir di sini.
Selain mahu mencari duit poket, ia dilakukan Muhammad Irfan Taib, 7, kerana mahu merasai sendiri pengalaman mencari rezeki dengan berniaga seperti dilakukan ibunya.
Menurut Muhammad Irfan, dia tidak dipaksa untuk menjual aiskrim Malaysia itu sebaliknya ia dilakukan dengan kerelaan hati selepas mengikuti ibunya, Nor Hafizah Abdullah, 43, berniaga di Batu 6.
“Saya pernah beberapa kali ikut ibu berniaga dan daripada situ, timbul minat mahu menjual seperti ibu lalu saya minta ibu sediakan aiskrim untuk dijual.
Jadi pada cuti persekolahan Mei lalu, saya mula menjual pelbagai perisa aiskrim dengan harga 50 sen sebatang di hadapan rumah dan memang seronok apabila ada orang beli.
“Daripada situ, saya tahu bagaimana susahnya mahu mencari duit menyebabkan saya lebih berjimat cermat ketika berbelanja,” katanya.
Sementara itu, Nor Hafizah berkata, dia dan suaminya tidak pernah memaksa anaknya menjual aiskrim Malaysia itu sebaliknya ia dilakukan atas permintaannya anak sendiri.
Katanya, keinginan untuk menjual aiskrim Malaysia di hadapan rumah mereka disuarakan anaknya itu selepas mengikutinya berniaga di Batu 6 di sini.
“Pada mulanya, saya ingatkan dia main-main tetapi selepas dia bersungguh-sungguh minta saya sediakan aiskrim itu, saya turuti kemahuannya dengan membuatkan aiskrim dan menyediakan meja jualan di hadapan rumah.
“Sebagai ibu bapa, kami tak mahu manipulasi anak-anak untuk keuntungan tetapi ia lebih kepada pendedahan kepada dia untuk mengenali dunia perniagaan seperti pusingan modal.
“Selain itu, ia juga dapat melatih kemahirannya dalam mengira dan berkomunikasi,” katanya.
Tambah Nor Hafizah, perniagaan anaknya itu tidak menentu dan bergantung kepada anak bongsunya kerana tidak mahu menghalang zaman kanak-kanak anaknya.
“Kami tak tetapkan waktu berniaga, jika ada rakan-rakannya yang mengajaknya bermain, kedai akan ditutup.
“Saya dan suami, Taib Abdul Razak, 45, tidak menghalang minat anak selagi dia tidak mengabaikan pelajaran kerana apa yang dilakukan anak ketika ini adalah satu proses pembelajaran,” katanya. – BH ONLINE/NSTP