Pharmaniaga Bhd mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Zulkarnain Md Eusope, sudah meletakkan jawatannya berkuat kuasa hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan farmaseutikal itu berkata ia adalah perniagaan seperti biasa dengan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) mengambil alih tanggungjawab dan fungsi CEO dalam tempoh sementara.
Ia berkata jawatankuasa itu terdiri daripada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Zulkifli Jafar; Ketua Pegawai Operasi, Mohamed Iqbal Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Kewangan, Norai’ni Mohamed Ali.
Sementara itu Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata Lembaga Pengarahnya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Zulkarnain.
Beliau telah berkhidmat di Pharmaniaga sejak September 2020 dan sepanjang tempoh perkhidmatannya, pihak syarikat, katanya, telah berjaya mencatatkan pertumbuhan yang sangat baik dalam perniagaan untuk sektor swasta di Malaysia, dan juga di Indonesia.
“Lembaga Pengarah mendoakan yang terbaik untuk Datuk Zulkarnain dalam apa jua bidang yang akan diceburinya,” katanya.
EXCO memberi jaminan urusan perniagaan Pharmaniaga akan berjalan seperti biasa dan semua aktiviti operasi bagi perniagaan konsesi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan perniagaan bukan konsesi dengan KKM, kementerian lain, serta sektor swasta akan kekal utuh dan tidak terganggu.
“Pihak Syarikat turut komited untuk memenuhi semua tanggungjawab dan kewajipan kepada pelanggan dan rakan kongsi perniagaan.
EXCO juga akan memberi tumpuan kepada penyediaan Pelan Regularisasi PN17 yang akan diselia oleh Pasukan Petugas Lembaga Pengarah PN17.
Pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan material mengenai perkara ini.
Pharmaniaga adalah sayap perniagaan farmaseutikal untuk Kumpulan Boustead Holdings Bhd dan bersama-sama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), adalah pemegang saham utama Pharmaniaga. – BH ONLINE