CIMB Investment Bank Bhd (CIMB) dinobatkan sebagai Bank Pelaburan Terbaik di Malaysia pada Euromoney Awards for Excellence 2022, buat kali kesembilan sejak 2008.
Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB berkata ia merekodkan transaksi perbankan pelaburan terbanyak di Malaysia, menyempurnakan enam peratus lebih banyak tawaran berbanding pesaing terdekat dan merekodkan nilai tawaran tertinggi dalam tempoh tinjauan anugerah itu dari 1 April 2021 hingga 31 Mac 2022.
Ini termasuk pasaran modal ekuiti (ECM), pasaran modal hutang (DCM), dan tawaran penggabungan dan pemerolehan (M&A).
Ketua Pegawai Eksekutif bersama (Perbankan Borong Kumpulan) CIMB Group, Novan Amirudin, berkata pihaknya berharap dapat terus membina rekod prestasi bagi penyelesaian inovatif dan kecemerlangan dalam perbankan pelaburan menerusi francais perbankan borong terkemuka dan rangkaian ASEAN.
Beliau berkata, CIMB bersyukur atas kepercayaan dan sokongan berterusan daripada pelanggan merentasi spektrum industri yang luas.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank, Jefferi Hashim, berkata anugerah itu adalah bukti keterampilan berterusan dalam DCM, ECM dan M&A di Malaysia, kerana bank terus memberikan kepakaran yang mendalam kepada pelanggan di seluruh ASEAN dalam melaksanakan penyelesaian kreatif untuk perlbagai tujuan pelanggan.