Polisi Trump 2.0 berpotensi memberi manfaat kepada sektor kelapa sawit, walaupun kesannya mungkin kurang ketara berbanding tempoh sebelumnya, menurut nota penyelidikan RHB Investment Bank.
Dalam pentadbiran Trump sebelum ini, AS mengenakan tarif ke atas produk China dan China membalas dengan tarif 25 peratus ke atas soya dan jagung AS.
Akibatnya, pada 2018-2019, eksport soya AS jatuh 17.9 peratus pada asas tahunan (YoY), dan seterusnya 4.15 peratus YoY pada 2019-2020, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Pertanian AS (USDA).
Menurut RHB Invesment, senario yang sama mungkin akan berulang di bawah polisi Trump 2.0, walaupun impaknya lebih kecil kerana China telah beralih daripada bergantung kepada minyak soya AS.
“Sekiranya situasi itu berlaku sekali lagi, minyak sawit masih berpotensi mendapat manfaat, walaupun dalam skala yang lebih kecil,” kata RHB Investment.
Harga minyak sawit mentah (MSM) kini meningkat hampir mencecah RM5,000 satu tan, dipacu oleh beberapa faktor seperti lonjakan harga minyak mentah akibat ketegangan geopolitik, masalah cuaca di Amerika Selatan yang melambatkan penanaman soya, dan larangan eksport minyak sawit oleh Thailand yang cuba mengawal kenaikan harga minyak masak.
Walaupun Thailand bukan pengeluar utama minyak sawit, langkah ini memberi kesan kepada sentimen pasaran.
“Polisi Trump 2.0 masih belum jelas, namun ketegangan geopolitik akan terus menyokong harga minyak mentah dan pasaran minyak sawit akan terus aktif,” tambah RHB Invement.
Ia menjangkakan harga MSM yang lebih tinggi untuk 2024, dinaikkan kepada RM4,100 setiap tan (daripada RM3,900), dan RM4,300 untuk 2025 (daripada RM3,800).
Menurut RHB, peningkatan harga MSM ini disebabkan oleh penurunan pengeluaran dan pengurangan stok di Indonesia, peningkatan mandat biodiesel di Indonesia, dan kekangan bekalan minyak bunga matahari serta rapeseed & canola pada tahun 2025.
Permintaan terhadap minyak sawit yang menurun disebabkan premium harga yang tinggi juga dijangka tidak akan bertahan lama.
“Dengan paras stok yang rendah di India, China, Bangladesh, dan Pakistan, kami percaya pengimport akan kembali membeli MSM sebaik sahaja tahap stok kembali ke paras minimum,” kata RHB. – BH ONLINE