Kedai RuncitPilihan Editor

Ejekan Tak Patah Semangat Anak Muda Jadi Pengusaha Arang

 Diperlekeh rakan-rakan kerana memilih pekerjaan sebagai pengusaha arang tradisional pada usia muda tidak langsung mematahkan semangat Muhd Dzaqwan Sukry, 29, untuk menceburi bidang itu.

Sebaliknya, ejekan serta kata-kata sinis yang dilemparkan menguatkan lagi tekad anak muda dari Kampung Kuala Menjing, Kuala Berang itu untuk terus berusaha dan menjadi usahawan yang disegani suatu hari nanti.

Menurut Muhd Dzaqwan, dia dan bapanya, Sukry Abdullah, 57, mula mengusahakan perusahaan arang secara tradisional tiga tahun lepas selepas mendapati banyak lambakan kayu yang terbuang begitu sahaja di sekitar kawasan Kuala Berang.

“Sebelum memulakan kerjaya sebagai pengusaha arang, saya pernah membuat pelbagai jenis kerja kampung untuk membantu bapa menanggung kehidupan kami enam sekeluarga.

“Sebelum ini ada juga rakan yang mengajak saya untuk bekerja di kilang di bandar, tetapi sebagai anak sulung, saya lebih selesa berada di kampung supaya senang untuk menjaga keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Kuala Menjing, di sini, hari ini.

Menurut Muhd Dzaqwan, walaupun perusahaannya dijalankan secara tradisional, dia melakukan sedikit inovasi terhadap ‘gok’ atau tempat pembakaran arang bagi memudahkan lagi kerja menyusun serta mengumpul arang yang sudah siap dibakar.

Menurutnya, idea tersebut diperoleh selepas melakukan sedikit kajian dan pemerhatian di saluran YouTube.

“Lazimnya pengusaha arang tradisional akan menggunakan ‘gok’ berbentuk iglu untuk membakar kayu. Tetapi saya dapati reka bentuknya yang sebegitu menyukarkan kami untuk masuk dan mengumpul arang.

“Jadi saya mereka bentuk gok baharu di tapak sebelah rumah yang berbentuk segi empat dengan lebar enam kaki dan kedalaman lapan kaki serta ditutup dengan penutup besi untuk membakar kayu.

“Saiz gok ini juga lebih besar dan boleh memuatkan kira-kira tiga tan kayu untuk dibakar pada satu-satu masa,” katanya.

Katanya lagi, pada awal pembabitan, dia dan bapanya menghadapi pelbagai kepayahan untuk mendapatkan pelanggan dan memasarkan produknya.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk menjaja arang dengan lori di seluruh daerah Hulu Terengganu kerana tidak mengetahui cara memasarkan barangan melalui laman sosial.

“Sekarang saya tidak perlu lagi mencari pelanggan, sebaliknya pelanggan yang terdiri daripada pengusaha restoran, peniaga pasar malam dan kedai runcit datang ke sini untuk mengambil arang.

“Bermula daripada 200 beg arang pada permulaan, jumlah pengeluaran kami kini sudah mencecah 2,400 beg sebulan dan ia masih belum cukup untuk menampung permintaan di sekitar daerah ini.

“Ini membuktikan bahawa perusahaan arang bukanlah industri yang hampir pupus, sebaliknya boleh menjana pendapatan lumayan jika dikendalikan dengan betul,” katanya yang menyimpan impian untuk perbesarkan lagi perniagaan kerana ketika ini berdepan kekangan modal. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close