Pilihan EditorTwo Cents

Fokus Strategi Merealisasi FDI Jadikan Malaysia ‘Syurga’ Pelabur – Pusat Penyelidikan Strategik

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

“Saya bimbang proses pemulihan ekonomi tidak dicapai seperti mengikut perancangan. Kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) tidak menampakkan selari dengan peratusan ingin direalisasikan.

“Jadi, akan timbul banyak persoalan rakyat di mana sebenarnya pelaburan itu dijanakan, dibawa masuk ke mana, di mana penjanaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi khususnya kepada rakyat tempatan?

“Apakah negara benar-benar pulih dan mendapat impak pemindahan pengetahuan, kemahiran dan teknologi, terutama kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)?”

Inilah luahan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa ketika berbahas pada hari pertama sidang Dewan Rakyat, Februari lalu.

Malah, ketika bangkit bertanyakan soalan tambahan, Johari juga melahirkan keprihatinan dan ketelitian betapa kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu melaporkan aliran keluar FDI supaya dapat mengenal pasti angka pelaburan bersih FDI dibawa masuk ke negara ini.

Perincian jumlah FDI diluluskan dan direalisasikan mengikut tahun ialah RM64,686.2 juta diluluskan dan jumlah direalisasikan sebanyak RM37,270.7 juta iaitu 57.6 peratusan direalisasikan pada 2018.

Pada 2019, sejumlah RM69,611.5 juta diluluskan tetapi sebanyak RM52,653.9 juta direalisasikan. Sejumlah RM58,108.5 juta FDI diluluskan pada 2020 dan hanya RM36,126.2 juta FDI berjaya direalisasikan, mewakili 62.2 peratus.

Pada 2021 memperlihatkan sejumlah RM200,481.3 juta diluluskan dan RM174,497.5 juta atau 76.5 peratus berjaya direalisasikan.

Sudah tentu apa juga FDI dibawa masuk ke negara ini sangat dituntut untuk merancakkan pembangunan ekonomi, sekali gus melestarikan keupayaan sosioekonomi negara.

Namun, persoalan besar turut dikenal pasti adalah kelompangan sebanyak 23.5 peratus jumlah FDI tidak direalisasikan membabitkan sejumlah RM92,339 juta antara 2018 hingga 2021 dan ia sesuatu perlu dicongak atau dibahagikan dalam mengenal pasti faktor berkenaan.

Kalau dilihat FDI dalam sektor perkilangan, bagi tempoh tahun sama memperlihatkan sejumlah RM350,609.7 juta diluluskan, namun hanya RM266,851.3 atau 76.1 peratus direalisasikan.

Maka, apakah faktor penolakan bagi perbezaan baki sebanyak 23.9 peratus iaitu sejumlah RM83,758.4 juta yang tidak berjaya direalisasikan.

Berdasarkan angka tidak direalisasikan ini, ia menggambarkan ada keperluan mendesak penubuhan satu Jawatankuasa Pemantau mengenai komitmen pelaburan diperoleh Malaysia, baru-baru ini.

Perincikan faktor penolakan

Penganalisis berpandangan adalah sangat wajar angka tidak direalisasikan itu diperincikan sebab musababnya, apakah faktor penolakan terhadapnya, setakat mana pendapatan pelaburan itu dicapai, apakah halangan dan kekangan dalam kalangan syarikat asing, terutama soal pasaran buruh dan institusi kewangan.

Sudah tiba masanya, jarum pencetus ditekan bagi mengembalikan semula Malaysia sebagai ‘syurga’ FDI bagi merealisasikan projek dibawa masuk atau memorandum persefahaman (MoU) boleh mencipta kekayaan dan pekerjaan berkemahiran tinggi baharu untuk rakyat.

Bermakna, MITI dan kementerian lain perlu mewajarkan fokus mempergiatkan strategi merealisasikan FDI supaya kemasukan pelaburan asing dapat diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang memberikan impak positif kepada negara.

Fokus ini selari dengan matlamat Dasar Pelaburan Baharu Negara berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional yang menjurus kepada lima teras iaitu meningkatkan kompleksiti ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, memperluaskan rangkaian domestik, membangunkan kluster baharu dan sedia ada serta mempertingkatkan keterangkuman dalam mensasarkan pelaburan berkualiti tinggi berintensifkan modal dan teknologi.

2023 dilihat sebagai pencetus kesejahteraan pemulihan ekonomi negara yang memperlihatkan Malaysia mencatatkan sejumlah RM264.6 bilion pelaburan diluluskan seperti diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melalui 4,454 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama, baru-baru ini.

Bermakna, sekurang-kurangnya kewajaran jangkaan pelaburan direalisasikan hendaklah lebih 90 peratus yang bakal mewujudkan lebih 140,000 pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor ekonomi akan meyakinkan pelabur asing bahawa Malaysia adalah negara tepat dan berbaloi untuk pelaburan dinamik.

Kerajaan juga wajar menyegerakan kemasukan FDI ke wilayah mundur bagi menyeimbangkan pembangunan ekonomi, terutama meningkatkan keupayaan secara maksimum dan mengarusperdanakan projek FDI utama yang berjaya direalisasikan.

Ia seperti industri elektrikal dan elektronik, barangan logam asas, kertas, percetakan dan penerbitan, jentera dan kelengkapan serta kimia dan barangan kimia selain perkhidmatan kesihatan.

Persoalan penting ialah setiap pelaburan diluluskan dan direalisasikan tanpa ketirisan, penyelewengan, salah tadbir urus mahu pun rasuah dapat dizahirkan demi manfaat rakyat dan pembangunan ekonomi negara keseluruhannya. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Perunding sosioekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close