Google semalam mengumumkan pelancaran Gemini 2.0, iaitu model kecerdasan buatan (AI) termaju sehingga kini, ketika syarikat gergasi teknologi dunia berlumba-lumba untuk mendominasi pembangunan teknologi yang pesat berkembang itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai, menyifatkan model baharu itu sebagai permulaan kepada era baharu dalam pembangunan AI, dengan model AI direka untuk memahami dan membuat keputusan berdasarkan persekitaran sekeliling.
Gergasi teknologi percaya bahawa ejen ini akan menjadi fasa seterusnya dalam revolusi AI, yang bermula dengan pelancaran ChatGPT pada 2022 yang menggemparkan dunia.
Gemini 2,0 juga dapat berintegrasi luas dengan produk Google, di mana pada peringkat awal akan diperkenalkan kepada pembangun dan penguji terpilih, sebelum diintegrasikan secara meluas ke dalam produk Google, terutama enjin carian dan platform Gemini.
Teknologi ini dikuasakan oleh perkakasan TPU generasi keenam Google, yang dikenali sebagai Trillium, yang kini tersedia kepada pelanggan.
Google menegaskan bahawa pemproses Trillium digunakan secara eksklusif untuk melatih dan mengendalikan Gemini 2.0.
Kebanyakan latihan AI sebelum ini dimonopoli oleh Nvidia, syarikat cip yang menjadi antara yang paling bernilai di dunia hasil ledakan teknologi AI.
Menurut Google, jutaan pembangun kini membina aplikasi menggunakan teknologi Gemini, yang diintegrasikan ke dalam tujuh produk Google, masing-masing mempunyai lebih dua bilion pengguna.
Kuasa Gemini 2.0 dijangka tersedia sepenuhnya dalam aplikasi carian Google pada awal 2025, yang kekal sebagai penyumbang pendapatan utama syarikat itu.
Model pertama daripada keluarga Gemini 2.0 ialah Flash, yang menawarkan prestasi lebih pantas sambil mengendalikan pelbagai jenis input termasuk teks, imej, video, audio) dan output iaitu imej dan suara terhasil.
Google turut mengumumkan sedang menguji produk yang mampu menggunakan aplikasi perisian, laman sesawang, dan alat dalam talian lain seperti pengguna manusia. OpenAI dan Anthropic turut memperkenalkan ciri serupa.
Syarikat itu juga memberi gambaran awal mengenai versi baharu Projek Astra, pembantu digital untuk telefon pintar seperti Siri oleh Apple, yang boleh memberi respons kepada imej dan arahan suara. – AFP