Oleh Ahmad Fauzi Mustafa (penulis ialah Editor Digital In Chief)
Al fatihah buat bekas Penolong Pengarang Berita, Berita Harian, Hardi Effendi Yaacob meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di Kampung Kerdas 3, Batu 6, Gombak dekat sini, malam semalam (11 Disember 2020).
Allahyarham yang berusia 43 tahun pada mulanya mengadu pening kepala sebelum tidak sedarkan diri, kira-kira jam 10 malam.
Di sebalik pemergian Allahyarham, sumbangan besar arwah kepada dunia maklumat kepada seluruh rakyat Malaysia dan dunia sebenarnya lebih daripada itu.
Sanggup berdepan dengan sebarang kemungkinan, antara liputan paling getir yang dilalui Allahyarham ialah debaran berdepan tentera pemisah bersama jurugambar, Khairul Ghazali ketika memasuki lokasi utama tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, di Donestk, timur Ukraine, 22 Julai tahun 2014 lalu.
Paling meresahkan pastinya ketika melihat sendiri sekumpulan anggota tentera pemisah bersenjatakan rifel AK-47 menembak sebuah lori barang yang enggan berhenti untuk pemeriksaan keselamatan di pos kawalan terakhir yang memisahkan sempadan Ukraine-Donestk.
Belum reda penat meredah perjalanan kira-kira 700 kilometer selama 12 jam dari Kiev ke wilayah itu, Allahyarham dan pasukan ditahan hampir sejam oleh tentera pemisah untuk soal siasat kerana melanggar perintah berkurung susulan peperangan dengan tentera Ukraine.
Allahyarham adalah antara kumpulan wartawan Malaysia dan antarabangsa pertama yang memasuki lokasi utama tragedi MH17 yang jatuh ditembak.
Bagaimanapun, selepas memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan sebenar ke wilayah bergolak itu, pasukan Allahyarham dibebaskan Kumpulan Pemisah Donestk (DSG), namun diingatkan supaya sentiasa berwaspada kerana ramai penembak hendap berada di pusat bandar bagi mengekang kemaraan musuh.
Allahyarham memasuki wilayah bergolak itu sehari selepas 282 beg mayat dan 87 bungkusan plastik mengandungi cebisan mayat bersama dua kotak hitam MH17 berjaya dibawa keluar dari lokasi nahas.
Kesayuan menyelubungi sebaik memasuki lokasi utama nahas, Grabovo, kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat bandar. Sukar menahan sebak melihat barang permainan, termasuk anak patung berselerakan. Terbit sayu mengenang nasib kanak-kanak tidak berdosa yang turut menjadi mangsa keadaan.
Seorang gembala lembu yang ditemui di tempat kejadian memberitahu, kebanyakan mayat kanak-kanak ditemui masih memakai tali pinggang keselamatan di kerusi penumpang, namun ada juga berkeadaan tidak sempurna.
“Langit cerah ketika kejadian, MH17 berkecai di udara dan serpihan pesawat serta penumpang jatuh bagaikan hujan meteor. Suasana ketika itu cukup menakutkan,” katanya yang memperkenalkan diri sebagai Eryna.
Sementara itu, penulis sempat menziarahi ke rumah kediaman arwah dan keluarga di Kampung Kerdas 3 tengah hari tadi yang kebetulan ketika itu turut dikunjungi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Kata menteri, walaupun khidmatnya (arwah) agak singkat, pemergian beliau kehilangan besar bagi saya dan seluruh warga kementerian.
Allahyarham Hardi yang baharu berkhidmat sebagai pegawai khas media Alexander hampir dua bulan lalu, disifatkan sebagai seorang yang profesional dan berkeperibadian tinggi.
Penulis juga mendengar yang Allahyarham begitu gembira dan teruja ke Kapit, Sarawak , bagi tujuan untuk menganjurkan beberapa program selepas sidang Dewan Rakyat tamat.
Malahan, penulis juga dimaklumkan arwahnya sempat membelanja makan untuk keluarganya sempena pekerjaan baharunya di kementerian.
Moga roh Allahyarham berada di sisi orang-orang mukmin dan dirahmati Allah swt di samping ahli keluarga yang lain.
Allahyarham menyertai skim latihan kewartawanan Berita Harian pada 1996 selama tiga bulan sebelum diserap sebagai wartawan kadet dan pernah menjadi wartawan Meja Hiburan dan Meja Jenayah.
Allahyarham kemudiannya bertugas sebagai Ketua Biro Berita Harian di Sarawak dan jawatan terakhirnya di Berita Harian adalah sebagai Penolong Pengarang Berita sebelum meninggalkan agensi berita itu, Mac tahun ini.
Selepas beberapa bulan meninggalkan Berita Harian, beliau kemudiannya menyertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai pegawai khas sejak November lalu.
Allahyarham meninggalkan isteri, Leany Mokhtar, 41, serta dua anak perempuan, Nur Khayla Iman, 12 tahun dan Nur Khadeeja Iman, 8 tahun. – BACALAHMALAYSIA.MY/BERITA HARIAN/FOTO FB HARDI EFFENDI