MalaysiaPilihan Editor

Hukuman Sebat Bukan Bertujuan Menghukum Secara Kejam – Ketua Hakim Syarie

Pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah di Terengganu tidak bertujuan untuk menghukum secara kejam tetapi lebih kepada mendidik, mencegah dan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menjaga nilai-nilai agama.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain, berkata hukuman itu dijalankan dengan mengambil kira prinsip kemanusiaan dan dilakukan dengan penuh etika.

“Contohnya pegawai perubatan akan memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas pelaksanaan hukuman, manakala alat sebatan juga direka khas untuk mengurangkan risiko kecederaan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi memberikan penjelasan dan konteks yang tepat berkenaan pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah di Terengganu, yang telah menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat.

“SOP ini tidak menyebut mengenai kehadiran khalayak awam secara umum, apatah lagi dalam jumlah besar. Sebaliknya ia menekankan aspek privasi, pengurusan tertib, dan pematuhan kepada undang-undang serta etika. Hal ini penting bagi memastikan pelaksanaan hukuman tidak disalahertikan atau dijadikan tontonan yang sensasi,” katanya.

Beliau berkata Malaysia adalah negara yang unik dengan wujudnya dua undang-undang iaitu undang-undang sivil dan syariah yang secara khusus mengatur hal-hal berkaitan umat Islam di samping undang-undang adat di Sabah dan Sarawak.

“Dalam konteks ini penting untuk masyarakat memahami bahawa pelaksanaan hukuman ini adalah sebahagian daripada usaha menegakkan keadilan dan menjaga kesejahteraan masyarakat menurut prinsip agama,” katanya.

Mengenai kebimbangan mengenai Islamofobia, Mohd Amran berkata beliau percaya ia tidak sama sekali berbangkit dalam pelaksanaan hukuman sebat ini kerana kehadiran pihak luar menyaksikan pelaksanaannya adalah tertakluk kebenaran mahkamah syariah, dan lokasi yang ditetapkan adalah di masjid.

“Maka adalah pasti ia hanya disaksikan oleh orang Islam sahaja dan jelas sekali hukuman tersebut bagi menyedarkan umat Islam untuk tidak melakukan kesalahan yang sama,” katanya.

Semalam hukuman sebat di khalayak ramai terhadap buruh yang melakukan kesalahan khalwat berulang dilaksanakan di Dewan ‘Aasim, Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Terengganu selepas solat Jumaat, menjadikan pesalah berumur 42 tahun itu yang mengaku bersalah berkhalwat buat kali ketiga, sebagai individu pertama di Terengganu disebat di khalayak ramai. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close