Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
“Dekati rakyat dan pengundi dengan cara berhemah dan bijak menerusi kepenggunaan media sosial (MedSos) ini sambil selit-selitkan penyampaian kebaikan parti kita, janji-janji pembangunan yang boleh ditunaikan, parti yang memperjuangkan semua kaum, agama dan budaya, kata Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang mahu ahli Wanita akar umbi menunjukkan kebaikan parti secara berterusan dan berpanjangan.
“Tunjukkan keikhlasan kita menerusi kepenggunaan MedSos yang lebih menyakinkan, kreatif dan mempunyai tarikan membina.
“Untuk makluman, aktiviti masyarakat di negara ini merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk di negara ini.
“Memang banyak dan terlalu aktif. Tidak tidur kepenggunaan media sosial ini.
“Jadinya, jentera Wanita UMNO cawangan perlu menjadikan MedSos sebagai kempen yang aktif dalam norma baharu, katanya sewaktu berucap di persidangan perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bukit Gelugor, di sini, hari ini.
Persidangan ketiga-tiga sayap UMNO Bahagian Bukit Gelugor ini dirasmikan ketua bahagiannya, Datuk Omar Faudzar. Bermula hari ini persidangan perwakilan dijalankan serentak di semua UMNO Bahagian selama dua hari di seluruh negara.
Di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari, Norliza juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Bukit Gelugor berkata, kempen dan ceramah politik secara fizikal tidak dibenarkan dan terhad dalam keadaan tertentu.
“Maka pendekatan lain yang perlu dipraktiskan ialah membuat posting merayu, memujuk, meraih undi dan simpati kepada pengundi menerusi MedSos ini.
“Ramai yang menggayakan diri cara menyampaikan sesuatu, berkempen atau mengetengahkan sesuatu isu dan pandangan dengan cara bervideo.
“Secara kreatif, ada yang melawak, ada yang menyajikan fakta serta slide video yang menarik. Ini semua perlu kita membiasakan diri dengan lebih menarik lagi,” ujar beliau lagi.
Generasi sekarang ini kata Norliza, tidak boleh dipaksa untuk menyokong kita dengan hujah bahawa mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN.
“Pendekatan tersebut mungkin boleh digunapakai dahulu tetapi bagi generasi sekarang terutama kelompok UNDI18 sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan dan bukan apa yang telah serta pernah dilaksanakan.
“Yang pasti, landskap politik tanahair amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas samada melalui media masa atau media baharu.
“Pemodenan negara dengan infrastruktur canggih seperti jalur lebar dan telekomunikasi mudah alih bukan hanya meningkatkan produktiviti ekonomi negara tetapi juga memberi kesan kepada kesedaran dan kematangan politik rakyat,” katanya lagi.
Menurut Norliza, Pilhan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah gelanggang penentu yang membuktikan sejauh manakah rakyat dan pengundi menerima UMNO Barisan Nasional (BN) kembali menerajui negara.
“Cabaran sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengurus persekitaran politik yang jauh berbeza daripada kebiasaan sebelum ini.
“Kita berhadapan dengan pengundi yang celik isu semasa, pengundi yang berpendidikan dan pengundi yang terdedah kepada dunia bermaklumat.
“Saya percaya dan penuh yakin cara Wanita UMNO cawangan berinteraksi perlu lebih ke depan dengan telefon bimbit masing-masing.
“Bukan setakat Whatapps semata-mata atau Facebook, tetapi saya mahu semua di sini perlu ada Twitter, perlu ada Instagram, perlu ada WeChat mahu pun Telegram dan paling trending sekarang ini, perlu ada akaun TikTok, katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY