Oleh Faisalludin Yusuff
Pasca PRU 14 menyaksikan pelbagai insiden yang sangat dramatik dan mencemaskan.
Buat pertama kali Barisan Nasional (BN) yang di dominasi oleh UMNO hilang kuasa.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mampu bertahan selama 22 bulan runtuh, bukan kerana orang lain, tetapi disebabkan diri sendiri kerana gabungan parti-parti dan pemimpin-pemimpinnya punya tujuan dan perjuangan yang berbeza-beza.
Apatah lagi, PH sendiri dibenci oleh majoriti rakyat kerana gagal memenuhi manifesto yang mereka sendiri janjikan.
Maka runtuhlah kerajaan 22 bulan dan berpecahlah PH sebagaimana yang kita saksikan kini.
Pada pandangan saya, situasi terkini kedudukan parti-parti politik bolehlah dibahagikan sebagaimana berikut:-
Kem Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam BERSATU membentuk kerajaan PN sehingga PRU 15 bersama UMNO, MCA, MIC, PAS, Kem Azmin, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan beberapa wakil bebas. Kem ini juga kita belum pasti sejauh mana ianya bakal bertahan sebelum atau selepas PRU 15. Setakat hari ini, boleh dikatakan kesemua pimpinan parti dalam gabungan termasuk Muafakat Nasional bersetuju Muhyiddin Yassin calon PM untuk menghadapi PRU ke 15.
Kem DS Anwar Ibrahim melaui PKR (setelah ditolak kem Azmin yang keluar parti) mengekalkan jenama PH dengan rakan kongsi mereka yang setia dari AMANAH dan DAP. Mereka sepakat Anwar adalah calon PM untuk menghadapi PRU ke 15. Pun begitu, kita tidak pasti sejauh mana PH boleh mengekalkan wakil-wakil rakyatnya andai PRU 15 masih lama lagi. Ini kerana, berita-berita yang menyatakan satu persatu wakil rakyat mereka keluar parti semakin bertambah dari hari ke hari.
Kem terbaru Tun Mahathir bersama sebahagian kecil pimpinan BERSATU yang setia dengan beliau membuat pakatan bebas dengan parti WARISAN dengan menamakan Dato Seri Shafie Afdhal sebagai calon PM mereka untuk PRU 15. Saya yakin akan ada juga pemimpin dari PKR, DAP, AMANAH, BERSATU (Kem Muhyiddin), UMNO dan parti-parti di Sarawak yang akan turut serta dengan kem ini kelak. Hanya masa sahaja yang bakal menentukan telahan saya ini betul atau tidak kerana saya pasti Tun M tidak akan membuat gerakan sebegini andai beliau tidak yakin dengan keputusannya.
Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang terdiri dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratif Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak boleh dipandang enteng.
Mereka juga memainkan peranan penting dalam menentukan siapa yang akan memenangi piala PRU 15 dan siapa pula yang bakal menjadi PM.
Parti-parti kecil seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Alternatif Rakyat, Parti Harapan Malaysia dan lain-lain lagi parti di Sabah dan Sarawak mungkin tidak sehebat parti-parti utama, tetapi jika nasib menyebelahi mereka pada PRU 15, sudah pasti mereka juga punya kekuatan tersendiri dalam mencaturkan siapa yang bakal menjadi PM selepas PRU ke 15 nanti.
Jangan dilupa juga peranan NGO-NGO yang pada hakikatnya mampu mempengaruhi minda dan persepsi rakyat dalam membuat sesuatu pilihan.
Sejauh mana keberkesanan NGO dalam menentukan pemenang pada PRU ke 15 nanti banyak bergantung kepada peranan dan sumbangan mereka kepada ahli-ahli dan masyarakat sekitar.
Yang pasti era PARTI DOMINAN mentadbir negara sudah berakhir selepas kalahnya BN pada PRU 14 yang lalu.
Adakah BN akan kembali menjadi dominan selepas PRU 15 atau akan ada gabungan seperti itu yang bakal kembali dominan, hanya masa dan waktu sahaja yang bakal menentukan.
Apapun, kini setiap parti mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri dan paling ketara masing-masing berani untuk memperjuangkan hak serta cita-cita mereka selama ini.
Rakyat di Sabah, Sarawak, Semenanjung, miskin bandar, golongan professional, golongan karyawan, kakitangan awam, golongan tua, anak muda, kaum wanita, OKU dan pelbagai lapis masyarakat punya isu, cabaran, kehendak dan persepsi tersendiri.
Begitu jugalah pandangan mereka terhadap parti-parti politik yang bertanding.
Andai setiap rakyat punya cabaran kehidupannya, setiap parti juga punya cabaran mereka tersendiri. Bagi saya, cabaran yang paling getir dihadapi oleh setiap parti bagi menghadapi PRU 15 adalah:-
Cabaran membentuk pakatan atau rakan kongsi
Cabaran mengagihkan kerusi di peringkat Parlimen dan DUN
Cabaran memilih bakal Perdana Menteri
Ketiga-tiga cabaran di atas adalah penentu sejauh mana sesuatu parti, pakatan, muafakat, perikatan atau apa sahaja gelarannya boleh membentuk kerajaan atau tidak.
Maka siapakah yang dapat menentukan bentuk apa yang bakal memerintah negara selepas PRU 15, parti dominankah, kerajaan bercampurkah, kerajaan minoritikah, kerajaan muafakatkah, itu semua hanya boleh dijawab oleh RAKYAT yang bakal memilih pada PRU 15 dan peranan parti-parti yang bertanding dalam mencorak dan mempengaruhi minda, emosi dan persepsi rakyat.
Bagi saya secara peribadi, Kerajaan yang kuat dan stabil adalah pilihan dan jawapan kepada masalah besar yang dihadapi oleh rakyat dan negara ketika ini terutama masalah kegawatan ekonomi, pengangguran dan keselamatan kesihatan.
Maka rakyat kena bijak dalam membuat pilihan dan jangan kita ulangi semula kesilapan 22 bulan di bawah PH yang lalu.
Pilihan yang ada pada saya tidak lain lagi gabungan di antara pemimpin-pemimpin berpengalaman sedia ada iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang yang mampu membawa negara ini ke satu peringkat yang lebih tinggi dan dicontohi oleh dunia.
Walaupun saya faham politik itu dinamik dan kompleks, tetapi jangan sesekali kita putus asa untuk bersama-sama mendoakan yang terbaik untuk negara ini.
Tanah Tumpah Darahku, Malaysia. – BACALAHMALAYSIA.MY
- Penulis ialah seorang peguam muda kampung dan pemerhati politik tanah air
Saya bersetuju dengan pandangan Ustaz Faisaluddin ini kerana asas asas yg diberikan. Namun saya ingin menambah bahawa kejayaan sesebuah pakatan adalah atas beberapa perkara. Pertama kepimpinan yg harus adil dan mengira kemaslahatan semua ahli komponen; kedua perlu ada perjanjian yang kukuh sebagai pengikat janji dalam pakatan ini; ketiga mempunyai kejujuran antara satu sama lain utk membentuk satu pakatan yg kukuh demi kesinambungan pembangunan negara.. ini antara yg penting. Dalam PRU15 nanti rakyat menantikan apakah manifesto yg mahu disajikan kerana ia harus mengambilkira keadaan semasa terkini. Covid 19 benar benar telah mengubah kehidupan dan membantutkan kehidupan manusia seharian. Manifesto ini mestilah menjurus kepada kebajikan rakyat secara keseluruhan seperti pekerjaan; syarikat yg berniaga; dan pengangguran yang kian meningkat. Rakyat mahu perut mereka merasa selesa semula. Rakyat mahu ada bumbung meneduhi mereka; ini adalah antara cabaran kepada parti parti ug bertanding nanti. Apa pun kita mendoakan agar Allah memelihara Malaysia sebaiknya.
Salam
Terima kasih Tun Sri Lanang. Admin sangat menghargai pandangan yg membina ini.