Governans

Ketua Setiausaha Negara Baharu Ganti Mohd Zuki Akan Diumum Dalam Masa Terdekat – Anwar

Pengumuman pelantikan Ketua Setiausaha Negara baharu akan dibuat dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pelantikan baharu itu adalah untuk menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bakal menamatkan kontraknya pada 10 Ogos ini.

“Calon Ketua Setiausaha Negara, saya akan umum dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Mohd Zuki dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 31 Disember 2019 dan beliau menjawat semula jawatan itu secara kontrak untuk tempoh dua tahun mulai 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya pada perhimpunan bulanan itu menyifatkan Mohd Zuki sebagai tonggak penjawat awam yang komited dan tidak pernah mengeluh dalam menjalankan tugasnya.

“Saya bersyukur kerana sejak menjawat jawatan Perdana Menteri, saya didampingi selain rakan Jemaah Menteri, ialah tonggak dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara dan kebetulan ini perhimpunan terakhir beliau.

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk menyatakan pengharagaan dan rasa terhutang budi saya kerana beliau walaupun berpengalaman dengan Perdana Menteri sebelumnya, tetapi menjalankan khidmat benar-benar profesional,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sejak hari pertama beliau mengemudi negara, Mohd Zuki sering memberikan nasihat, pandangan dan cadangan secara konsisten serta terbaik demi perkhidmatan dan negara.

“Jadi saya dalam membuat keputusan, (sering) merujuk pandangan beliau termasuk (dalam) skim persaraan (penjawat awam) yang banyak dibantu oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi kita runding dan peranan Ketua Setiausaha Negara itu sangat utama.

“Saya kadang-kadang panggil beliau Sabtu malam, kalau lapang sikit saya panggil hari Ahad, tapi inilah satu sosok penjawat awam tak pernah beri alasan letih atau mengeluh sebaliknya mencari jawapan sebaik mungkin.

“Tetapi itulah Tan Sri Mohd Zuki tidak pernah beri sedikit gambaran bahawa beliau susah dengan tekanan dan beban yang saya berikan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close