Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengukuhkan kedudukannya menjadi antara sembilan lapangan terbang terbaik dunia pada suku pertama tahun ini dalam Anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ).
ASQ adalah penanda aras bagi lapangan terbang terbaik dunia yang diumumkan Airports Council International (ACI) baru-baru ini.
Ia menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan pelanggan keseluruhan bagi keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.
KLIA memperoleh skor 4.99 daripada 5.00, berbanding 4.98 pada 2020 di bawah kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa).
Satu kenyataan berkata, selain KLIA, kumpulan itu turut berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatannya selepas menyaksikan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) dinobatkan sebagai lapangan terbang ketiga terbaik dunia dalam kategori 2-5mppa dengan skor 4.97.
“MAHB akan menggunakan tempoh ketika sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik dilaksanakan untuk menggerakkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengalaman penumpang dan memastikan lapangan terbang bersedia menyambut peningkatan penumpang kelak,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata walaupun kumpulan itu mencatatkan penurunan mendadak dalam pergerakan penumpang, ia bukan alasan untuk memastikan perkhidmatan dan kemudahan kekal berada di tahap tertinggi.
Katanya, hasil memberangsangkan yang diraih di atas inisiatif di KLIA dan LGK dalam meningkatkan perkhidmatan dan langkah keselamatan luar biasa dalam norma perjalanan baharu dijangka dapat membantu mengembalikan tahap keyakinan penumpang.
“Sempadan negara ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan susulan peningkatan kes harian COVID-19 baru-baru ini.
“Walaupun begitu, jumlah pergerakan penumpang bagi rangkaian lapangan terbang tempatan adalah 630,000 penumpang pada April, meningkat hampir lapan peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Ini dipacu oleh peningkatan operasi syarikat penerbangan bagi sektor domestik yang melonjak 161 penerbangan mingguan atau berkembang 19 peratus berbanding Mac, selain mengekalkan faktor muatan melepasi 57 peratus,” katanya.
AirAsia merekodkan faktor muatan tertinggi iaitu 60 peratus pada April.
Mohd Shukrie berkata, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tahun ini dijangka membantu membuka jalan pemulihan secara beransur-ansur.
Bagi Turki, katanya, negara itu telah mengumumkan melonggarkan sekatan yang membolehkan perjalanan antara negara pada waktu tertentu.
“Pada April, disebabkan penutupan sebahagian sempadan sebelumnya, ISG mencatatkan 1.4 juta penumpang, menyusut 20 peratus berbanding Mac.
“Walaupun mengalami penurunan, syarikat penerbangan tempatan seperti Pegasus dan AnadoluJet kekal optimis dengan penambahan syarikat penerbangan pertama Shymkent, Kazakhstan ke rangkaian operasi dengan penerbangan mingguan yang dijangka dilancarkan bulan ini,” katanya. – BH ONLINE