Duniaku Teknokrat

Konsortium Diketuai Khazanah, KWSP Tawar Ambil Alih MAHB Pada RM11 Sesaham

Konsortium yang diketuai Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan hasrat mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang belum dimiliki mereka pada harga RM11 sesaham.

Tawaran rasmi itu dibuat berikutan kelulusan daripada pihak berkuasa di Turkiye, Arab Saudi, Mesir dan Malaysia, menurut kenyataan bersama pemegang saham Gateway Development Alliance.

Sehingga 15 November 2024, konsortium dan syarikat induk mereka secara agregat memiliki 41.1 peratus daripada saham MAHB yang diterbitkan.

Konsortium itu diterajui oleh dua syarikat Malaysia iaitu UEM Group Bhd (UEM Group), anak syarikat milik penuh Khazanah dan KWSP.

Harga tawaran sebanyak RM11 itu mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion bagi MAHB, yang menandakan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 37.7 kali bagi pendapatan setiap saham yang dikonsolidasikan yang diaudit MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Penerimaan sepenuhnya tawaran itu akan menyaksikan pegangan UEM Group di dalam MAHB meningkat daripada 32.99 peratus kepada 40 peratus dan pegangan KWSP pula meningkat daripada 7.86 peratus kepada 30 peratus.

Ia bermakna, pelabur Malaysia secara bersama akan memiliki 70 peratus pegangan di dalam MAHB, sementara baki 30 peratus pegangan pula akan dimiliki oleh ADIA dan GIP.

Kerajaan akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan MAHB akan terus dilantik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia yang dikendalikan oleh MAHB akan terus dimiliki oleh Kerajaan Malaysia, seperti termaktub di bawah perjanjian pengoperasian yang ditandatangani MAHB, dan akan terus dikawal selia oleh pelbagai agensi kerajaan termasuklah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Konsortium berhasrat untuk meletakkan MAHB di landasan terbaik bagi pertumbuhan mampan jangka masa panjang.

Tumpuan akan diberikan kepada penyelenggaraan dan usaha menaiktaraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambahbaik keterhubungan syarikat penerbangan yang akan meningkatkan pertumbuhan trafik.

Ia sekali gus akan memberikan manfaat ekonomi berpanjangan kepada MAHB dan pemegang taruhnya, serta sektor ekonomi utama di Malaysia dan Turkiye.

Konsortium percaya objektif itu dapat dicapai dengan lebih baik sekiranya MAHB beroperasi sebagai sebuah entiti swasta, dengan mengambil pendekatan jangka masa panjang dalam pembuatan keputusan dan pelaburan modal, di samping menerima manfaat daripada kepakaran teknikal antarabangsa.

Konsortium juga ingin menegaskan bahawa tidak ada sebarang rancangan untuk memberhentikan pekerja dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi susulan daripada tawaran itu.

Tawaran itu adalah tertakluk kepada penerimaan yang sahih di mana konsortium, termasuk dengan saham yang sudah dimiliki, perlu memiliki sekurang-kurangnya 90 peratus saham MAHB yang diterbitkan pada atau sebelum tawaran itu ditutup.

Dokumen tawaran dan borang penerimaan serta pemindahan akan dihantar kepada pemegang saham MAHB pada masa yang bersesuaian. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close