Negara perlu berganjak kepada model gaji kehidupan wajar dalam tempoh terdekat untuk rakyat menjalani kehidupan yang berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, percaya meningkatkan gaji pekerja adalah lebih progresif untuk menambah simpanan hari tua, berbanding menaikkan kadar caruman semata-mata.
“Gaji itu bukan sahaja naik sendiri. Mungkin kita perlu ada inovasi yang menolong mengurangkan beban majikan. Kemungkinan majikan melabur dalam menggunakan automasi, kerana automasi itu ada, pekerjaan itu akan berganjak kepada pekerjaan yang lebih bernilai tinggi,” kata beliau kepada BuletinTV3.
Tambah beliau, automasi dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan menyalurkan lebihan tersebut kepada pekerja tempatan.
Dalam pada itu, KWSP menggalakkan majikan untuk mencarum lebih daripada kadar statutori 12% hingga 13% secara sukarela.
Caruman yang lebih besar juga dapat menarik pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat masing-masing.
“Kami menggalakkan majikan mencarum lebih daripada kadar statutori. Buat masa sekarang adalah secara sukarela, kami mendorong mereka dahulu. Namun, perkara asas yang kita kendak menangani ialah mempercepatkan perlaksanaan gaji kehidupan wajar,” katanya.
KWSP juga menggalakkan orang ramai menambah caruman pada bila-bila masa mengikut kemampuan mereka.
Tahun lalu, kerajaan bersetuju menaikkan had caruman sukarela KWSP kepada RM100,000 setahun berbanding RM60,000 sebelum ini. – BH ONLINE