Oleh Dr Anuar Shah Bali Mahomed
Sejak beberapa hari lalu, terdapat trend konsisten sebahagian negeri di Malaysia berdepan dengan hujan secara berterusan.
Bulan lalu, hujan berterusan mengakibatkan dua kampung masing-masing di Port Dickson dan Rantau dinaiki air.
Perkara sama juga berlaku di Johor baru-baru ini membabitkan banjir kilat di Pontian, Kluang dan Kulai berikutan hujan lebat melebihi dua jam.
Ini satu khabar berita awal jelas menunjukkan keadaan mungkin boleh bertambah buruk dalam beberapa minggu atau bulan mendatang.
Beliau juga menggariskan tiga faktor menyumbang kepada banjir iaitu lekukan tropika, kehadiran luruan monsun dan La Nina sehingga boleh mengakibatkan banjir besar seperti berlaku pada Disember tahun lalu.
Ketika ini, negara dan rakyat memerlukan lebih banyak masa bagi memastikan pemulihan ekonomi berjalan seperti dirancang dan keperluan ini mengambil kira ketidaktentuan ekonomi dunia.
Bencana alam khususnya banjir besar jika terjadi bakal memberikan tekanan tambahan kepada ekonomi negara dan amat penting bagi kerajaan memastikan keutamaan ketika ini adalah menguruskan ekonomi negara dan pengurusan bencana alam.
Pemulihan ekonomi perlu masa panjang
Bajet 2023 amat kritikal dalam memberikan nafas kepada rakyat dan peniaga untuk bersedia berhadapan krisis bencana alam tahun ini dan kelembapan ekonomi dunia pada tahun hadapan.
Pemulihan ekonomi negara perlu mengambil masa lebih panjang disebabkan pandemik COVID-19 sejak 2020, ditambah pula dengan pelbagai krisis global lain hampir serentak dan berterusan termasuk peperangan Ukraine dan Russia, krisis sekuriti makanan dan kenaikan harga barangan.
Dalam konteks banjir, walaupun tidak pasti apa akan berlaku pada masa hadapan, namun berdasarkan kepada trend sebelum ini persiapan perlu dibuat untuk berdepan dengan situasi banjir disifatkan sebagai luar daripada kebiasaan.
Justeru, platform Bajet 2023 perlu digunakan untuk memastikan negara benar-benar bersedia berdepan banjir. Pemimpin politik wajar melupakan politik seketika.
Keutamaan pada ketika ini adalah kehidupan rakyat secara keseluruhan untuk berhadapan dua krisis besar iaitu bencana alam dan krisis ekonomi. Semua pihak bakal terjejas dengan dua krisis ini, terutama penternak, peniaga dan sektor pengeluaran barang serta logistik.
Bermakna, kerajaan perlu meneruskan usaha pemulihan melalui Bajet 2023 dan dibahaskan semua di Parlimen sebagai kesinambungan terhadap inisiatif dilaksanakan sebelum ini dan akan atau sedang dilaksanakan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Ia juga bagi memastikan kita mampu berdepan dengan tekanan ekonomi global luar biasa pada ketika ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Bajet 2023 penting untuk kerajaan memastikan dan memberikan penekanan terhadap usaha antara Pusat dan negeri bagi memastikan semua agensi di bawah kendalian masing-masing dapat menguruskan bencana alam dengan sebaiknya.
Trend semasa pada ketika ini dengan hujan berterusan secara konsisten di sebahagian besar negeri di Malaysia memberikan satu mesej jelas kepada semua kemungkinan banjir besar dijangka berlaku tidak jauh daripada kita.
Perubahan iklim dan cuaca membawa khabar berita jelas untuk semua pihak bersedia berhadapan dengan bencana alam berpotensi menjejaskan ekonomi negara yang terkesan disebabkan ketidaktentuan ekonomi global. – BH ONLINE
- Penulis adalah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)