Dimensi BisnesPilihan Editor

Mcdonald’s Malaysia Bakal Selaras Gaji Minimum Pekerja

Mcdonald’s Malaysia akan membuat pelarasan gaji kakitangan sepenuh masanya menjelang akhir tahun ini bagi menyokong cadangan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan Mcdonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, buat masa ini, lebih 80 peratus kakitangan sepenuh masa McDonald’s sudah pun menerima RM1,500 gaji asas yang minimum setiap bulan.

“Menjelang penghujung 2022, McDonald’s akan membuat pelarasan gaji kakitangan sepenuh masa kami bagi menyokong cadangan kerajaan untuk meningkatkan jumlah gaji minimum.

“Ini adalah sebahagian daripada komitmen McDonald’s Malaysia yang sentiasa mengutamakan kakitangannya,” katanya pada taklimat mengumumkan prestasi 2021 restoran itu dan pelan pengembangan di sini, hari ini

Katanya, ini akan menjadikan jumlah keseluruhan restoran Mcdonald’s di negara ini kepada 500 cawangan menjelang 2026.

Azmir berkata, sebagaimana falsafahnya, iaitu Malaysia untuk Malaysia atau ‘Malaysians Serving Malaysians’, restoran makanan segera itu terus komited menyediakan pekerjaan kepada 100 peratus rakyat Malaysia, pada masa sama mencapai Visi 2026 yang ditetapkan.

“Sebanyak 50,000 kekosongan pekerjaan ini akan membantu meningkatkan lagi pertumbuhan syarikat dan menyokong operasi restoran masa kini yang semakin berkembang secara signifikan sejak lebih dua tahun lalu,” katanya.

Beliau menambah, komitmen McDonald’s Malaysia untuk mengukuhkan kebolehpasaran belia diiktiraf dalam industri hospitaliti.

“Hari ini, belia Malaysia boleh memulakan kerjaya melalui Program Perantisan Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

“McDonald’s juga menyasarkan pelaburan RM300 juta dalam program-program latihan dan pembangunan menjelang 2026,” katanya.

McDonald’s adalah pengendali restoran khidmat segera di negara ini yang dianugerahkan akreditasi SLDN oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Sehingga 2021, McDonald’s Malaysia sudah melatih lebih 3,500 belia yang kini sudah mendapat pekerjaan dalam industri hospitaliti.

Seiring dengan Visi 2026 syarikat, ia meletakkan matlamat untuk menghasilkan 15,000 perantis Akademi Vokasional dalam tempoh lima tahun akan datang. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close