Beberapa hari lalu, tular rakaman video memaparkan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dalam ceramah kempennya mengeluarkan hukum sesiapa mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata laporan juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Dia ingat dia hasut orang, ugut orang guna agama untuk menakutkan orang Melayu. Dia ingat dia akan terlepas dari undang-undang,” katanya ketika berucap di Ceramah Mega Ayuh Malaysia di Bukit Gambir, Ledang, malam tadi.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR mengingatkan PAS supaya tidak membuat sebarang provokasi menggunakan sentimen agama dan perkauman.
“Lain kali kalau nak masuk pilihan raya, cakap dengan pengundi, macam mana nak bantu pengundi, beritahu mereka apa perancangan PAS untuk orang Melayu, Cina dan India.
“Janganlah guna agama kata orang itu masuk neraka, orang ini kafir, undi tak masuk syurga,” katanya. – BH ONLINE