Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin, ditawarkan untuk menjadi calon di Parlimen Ketereh.
Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau sendiri dimaklumkan oleh Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh.
“Ketua Puteri UMNO itu dipanggil mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan parti sebelum ini tanpa pengetahuan saya.
“Selepas itu, Ketua Puteri UMNO itu merujuk tawaran berkenaan kepada saya. Saya tidak tahu sama ada beliau menerimanya atau tidak.
“Saya cuma memaklumkan tanya hati sendiri dan kalau berasakan mampu menang, maka bertandinglah. Jangan bertanding semata-mata hanya untuk bertanding,” katanya.
Pada masa sama, Annuar turut memaklumkan beliau tidak menerima jemputan untuk Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) yang diadakan malam ini. – BH ONLINE