Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Persatuan Pakar Teknologi Minyak India (OTAI) memeterai kerjasama untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat pemakanan serta kebaikan kesihatan minyak sawit Malaysia di pasaran India.
Menyedari kepentingan India sebagai pasaran utama bagi minyak sawit Malaysia, perjanjian itu membuka jalan melalui kempen kesedaran yang disasarkan bagi menangani salah tanggapan serta membuktikan peranan minyak sawit dalam aspek kesihatan, pemakanan dan aplikasi industri.
Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pendidikan pengguna, penglibatan industri dan penyelidikan saintifik bagi memperkukuh kedudukan minyak sawit sebagai bahan utama dalam sektor makanan dan bukan makanan di India.
“Kerjasama dengan organisasi seperti OTAI membolehkan kami memanfaatkan kepakaran dan rangkaian mereka untuk berinteraksi secara efektif dengan pihak berkepentingan utama,” katanya dalam satu kenyataan.
“Minyak sawit bukan sahaja bebas daripada lemak trans, malah ia merupakan salah satu sumber terkaya Vitamin E antioksidan yang terdiri daripada dua jenis utama, iaitu tokopherol dan tokotrienol.
“Walaupun kedua-duanya menawarkan manfaat antioksidan, tokotrienol daripada minyak sawit mempunyai keupayaan perlindungan yang lebih tinggi dan mengandungi keseimbangan unik antara asid lemak tepu dan tidak tepu, penting untuk kesihatan keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata, di bawah perjanjian kerjasama itu, MPOC dan OTAI akan bekerjasama untuk menganjurkan seminar industri, persidangan dan taklimat akademik yang bertujuan mendidik pengguna India, pengeluar makanan dan pihak berkepentingan industri mengenai manfaat kesihatan serta pelbagai aplikasi minyak sawit Malaysia.
“Selain itu, kedua-dua pihak akan menyokong kerjasama penyelidikan dengan institusi pendidikan terkemuka di India bagi mengesahkan sifat pemakanan dan fungsi minyak sawit.
“MPOC dan OTAI juga akan memudah cara rangkaian industri serta pertukaran dasar bagi memperkukuh hubungan perdagangan dan menggalakkan kerjasama antara pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit Malaysia dan India,” katanya. – BH ONLINE