Two Cents

PANDANGAN: Penjawat Awam Dinasihat Perkukuh Perancangan Kewangan – Pakar

Oleh Dr Norwazli Abdul Wahab

PENJAWAT awam di seluruh negara kini menerima gaji baharu hasil pelarasan di bawah Skim Pelarasan Perkhidmatan Awam (SPPA) Fasa Pertama. Perlu diakui, pelarasan gaji ini adalah langkah penting, terutama bagi penjawat awam menghadapi cabaran ekonomi global semakin mencabar.

Kenaikan gaji ini seharusnya disertai dengan peningkatan kualiti kerja, kredibiliti dan integriti dalam perkhidmatan. Penjawat awam memainkan peranan penting merealisasikan aspirasi negara untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat serta memastikan keberkesanan dasar kerajaan.

Keadaan ekonomi semasa, termasuk inflasi berterusan, kenaikan harga barang dan kos sara hidup tinggi, memberi tekanan kepada banyak lapisan masyarakat. Pakar ekonomi meramalkan cabaran ekonomi akan berterusan dengan ketidaktentuan ekonomi global dan persaingan pasaran buruh yang lebih sengit.

Laporan Bank Dunia juga menunjukkan negara sedang berusaha mengukuhkan daya tahan ekonominya, namun cabaran seperti inflasi dan penyesuaian dalam dasar monetari global akan memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah. Dalam situasi ini, pelarasan gaji penjawat awam dilihat sebagai usaha untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

Apabila penjawat awam menghayati konsep ini, mereka akan lebih berusaha melaksanakan tugas dengan dedikasi, menjauhi rasuah dan memastikan keputusan dibuat memberikan manfaat kepada masyarakat.

Kestabilan kewangan jangka panjang

Meskipun dengan pelarasan gaji, cabaran kewangan masa hadapan tetap membimbangkan. Penjawat awam dinasihatkan untuk memperkukuh perancangan kewangan, bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi juga untuk memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.

Dengan permulaan sesi persekolahan 2025/2026 semakin hampir, penjawat awam perlu bersedia menghadapi kos pendidikan anak seperti yuran sekolah, buku dan pakaian seragam. Mereka juga perlu menyediakan perbelanjaan tambahan untuk yuran universiti, rumah sewa dan keperluan lain bagi anak melanjutkan pengajian di menara gading.

Selain itu, Ramadan dan Aidilfitri dijangka bermula pada Februari dan Mac 2025 memerlukan perancangan kewangan lebih awal bagi memastikan perayaan disambut dengan meriah tanpa tekanan kewangan.

Laporan menunjukkan lebih 50 peratus rakyat bergelut dengan simpanan jangka panjang, yang mana mereka tidak mempunyai simpanan kecemasan mencukupi untuk menampung perbelanjaan sekurang-kurangnya tiga bulan jika kehilangan pekerjaan. Ini menjadikan perancangan tabungan masa depan semakin penting.

Tabungan mencukupi bukan sahaja berfungsi sebagai pelan sokongan ketika menghadapi kecemasan, tetapi juga sebagai persediaan jangka panjang pembelian rumah, pendidikan anak-anak dan memenuhi keperluan persaraan.

Kaedah 50/30/20 adalah panduan praktikal untuk menguruskan kewangan dengan bijak. Mengikut kaedah ini, 50 peratus daripada pendapatan digunakan untuk keperluan seperti sewa rumah, makanan asas dan insurans manakala 30 peratus untuk kehendak seperti hiburan, makan di luar dan barangan mewah serta dan 20 peratus untuk simpanan atau pembayaran hutang.

Kaedah ini mudah dipraktikkan individu pada pelbagai peringkat pendapatan dan dapat membantu mengawal kewangan dengan baik. Justeru, pelarasan gaji menerusi SSPA ini perlu dijadikan peluang untuk membina kestabilan kewangan dengan merancang kewangan lebih strategik.

Selain itu, kenaikan gaji ini harus disertakan dengan peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam perkhidmatan. Matlamat utama adalah memastikan setiap ringgit dibelanjakan kerajaan membawa impak positif dan memberikan nilai tambah kepada masyarakat. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close