Pilihan EditorTwo Cents

PANDANGAN: Speaker Perlu Saksama Tangani Isu Status 6 Wakil Rakyat BERSATU

Oleh Prof Madya Dr Muhammad Fathi

Susulan polemik yang timbul berhubung status enam Ahli Parlimen pembangkang dari BERSATU terlucut keahliannya kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini timbul persoalan sama ada Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan kekosongan kerusi ahli Parlimen terbabit.

Perkara ini timbul berikutan enam Ahli Parlimen BERSATU iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) memberikan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri tanpa keluar parti.

Perkara 49A Perlembagaan menganggap ‘lompat parti’ berlaku dalam dua keadaan iaitu pertamanya apabila wakil rakyat ‘melepaskan keanggotaan parti’ dan kedua, apabila wakil rakyat itu ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik itu’.

Situasi pertama mudah ditafsirkan kerana ia boleh berlaku apabila seseorang wakil rakyat mengisytiharkan keluar daripada parti secara terbuka. Maka dalam keadaan ini, dia dianggap lompat parti dan kerusinya hilang. Namun, situasi kedua iaitu frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik itu’ menimbulkan pelbagai tafsiran.

Sebenarnya frasa ini diwujudkan sebagai satu mekanisme pengimbang antara hak demokratik seseorang wakil rakyat dan kawalan terhadap budaya lompat parti yang boleh menjejaskan kestabilan politik.
Mekanisme ini bertujuan untuk membolehkan mana-mana parti yang ingin menguatkan kawalan terhadap wakil rakyat mewakili partinya supaya mewujudkan sekatan lebih ketat melalui pindaan perlembagaan parti.

Beberapa parti seperti DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) melakukan pindaan parti mereka bagi memberikan definisi kepada maksud ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik’. Terbaharu, pindaan serupa diperkenalkan BERSATU.

Fasal 10.5 Perlembagaan BERSATU memperuntukkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) boleh mengeluarkan apa-apa arahan khusus secara bertulis kepada mana-mana wakil rakyat. Manakala Fasal 10.4 menyebut mana-mana wakil rakyat BERSATU tidak patuh arahan di bawah Fasal 10.5 disifatkan ‘terhenti keahliannya daripada BERSATU secara serta-merta’.

Beberapa minggu lalu, Ahli Parlimen BERSATU diberikan surat mengandungi arahan khusus dan difahamkan enam wakil rakyat berkenaan enggan menjawab surat berkenaan, sekali gus dianggap tidak mematuhi arahan khusus berkenaan. Soalnya adakah keengganan itu menjadikan keahlian mereka dalam BERSATU terhenti secara serta-merta.

Jika merujuk tujuan pindaan Perlembagaan mewujudkan undang-undang antilompat dan meneliti tujuan Perkara 49A(a)(ii) mengandungi frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik’, serta keengganan enam wakil rakyat berkenaan mematuhi arahan MPT parti, maka sewajarnya enam kerusi berkenaan diisytiharkan kosong.

Tambahan pula arahan khusus diberikan MPT berkait rapat dengan perkara paling asas kepada kesetiaan politik yang menjadi inti pati kepada peraturan antilompat parti.

Berbalik kepada persoalan berkaitan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam menentukan nasib enam wakil rakyat berkenaan, Perkara 49A (3) memperuntukkan apabila Yang Dipertua menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat mengenai berlaku kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, Yang Dipertua hendaklah memastikan berlaku kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari daripada tarikh menerima notis bertulis itu.

Bukan kuasa mutlak Speaker

Frasa menyebut Yang Dipertua ‘hendaklah memastikan berlaku kekosongan luar jangka itu’ tidak boleh ditafsirkan sebagai memberikan kuasa mutlak kepada beliau untuk membuat keputusan. Beliau perlu melaksanakan pertimbangan dan penelitian, namun semuanya perlu dilakukan berasaskan prinsip terkandung dalam Perlembagaan terutama Perkara 49A.

Bahkan keputusan dibuat beliau tetap tertakluk kepada semakan kehakiman khususnya Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa mentafsirkan Perlembagaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat juga bertanggungjawab menghalusi tujuan di sebalik peruntukan Perkara 49A Perlembagaan. Catatan perbahasan di dalam Dewan Rakyat sewaktu pembentangan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan berkenaan secara jelas menyebut tujuan frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik’ adalah memberikan ruang kepada parti menentukan garis kebebasan anggota perwakilan dari parti masing-masing melalui peruntukan perlembagaan parti.

Beliau juga perlu mendalami implikasi kepada keputusan dibuat. Jika tindakan enam wakil rakyat ini masih ditafsirkan sebagai bukan ‘lompat parti’, maka undang-undang antilompat parti menjadi sia-sia dan tidak berkesan. Selepas ini, tidak mustahil akan ada wakil rakyat daripada BERSATU atau parti lain termasuk daripada parti kerajaan menukar sokongan tanpa keluar parti.

Bahkan kedudukan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri juga akan tergugat bila ada wakil rakyat daripada parti komponen kerajaan memberikan kepercayaan kepada tokoh lain untuk menjadi Perdana Menteri tanpa mengisytiharkan keluar parti.

Undang-undang antilompat parti dibuat dalam situasi berlaku perubahan kerajaan yang kerap selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akibat perubahan sokongan politik ketara gara-gara budaya lompat parti.

Perubahan kerajaan yang kerap menjejaskan kestabilan politik seterusnya mengikis keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap keutuhan pentadbiran kerajaan. Bahkan kemelut politik berlaku dalam tempoh berkenaan juga menjejaskan fokus kerajaan melaksanakan program pembangunan negara dan pengukuhan ekonomi.

Tindakan enam wakil rakyat BERSATU dan beberapa ADUN BERSATU yang menukar sokongan tanpa keluar parti adalah helah politik sangat jelas. Atas kertas mereka masih ahli BERSATU tetapi hakikatnya mereka terpisah daripada parti mereka. Undang-undang bukan pelindung kepada pembelot.

Yang Dipertua Dewan Rakyat amat memahami bahawa kewibawaannya terletak kepada ketegasan, keadilan serta keteguhannya mempertahankan Perlembagaan. Mengetuai badan legislatif menuntut seorang Yang Dipertua Dewan Rakyat bertindak dengan saksama dan bebas tanpa terikat kecenderungan politik. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Pusat Polisi Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close