Oleh Dr Mohd Izuan Hafez Ninggal
Kita semua sudah sedia maklum kemunculan pelbagai teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai bentuk aplikasi untuk memudahkan urusan manusia.
Teknologi ini membawa banyak kemajuan dalam pelbagai bidang, tetapi di sebalik kejayaan itu terdapat potensi bahaya besar mampu membuat hidup manusia huru-hara.
Antara cabaran utama adalah bagaimana AI boleh digunakan untuk tujuan negatif, terutama dalam konteks manipulasi maklumat dalam bentuk teks, audio dan video untuk propaganda. Pastinya masyarakat tidak mahu kejadian itu berlaku ketika rakyat terkesan dengan dinamik ekonomi semasa. Ini boleh memburukkan lagi keadaan kepada rakyat dan kerajaan.
Umumnya, masyarakat sedia maklum keupayaannya AI untuk membuat sesuatu keputusan dan tindakan berdasarkan maklumat dipelajari AI itu boleh menjadi alat yang sangat berkuasa.
Antara cara utama AI digunakan adakah menyediakan kandungan propaganda bagi mempengaruhi pendapat awam dan menggalakkan agenda radikal.
AI boleh menghasilkan teks, gambar dan video kelihatan sangat realistik serta mampu mencipta naratif sesuai dengan matlamat.
Dengan menggunakan teknik seperti deepfake, pengguna boleh mencipta video memaparkan orang penting dalam situasi direka untuk menghasut kemarahan atau kebencian.
Baru-baru ini, Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) mengesan strategi kumpulan pengganas antarabangsa menggunakan teknologi AI bagi menyebarkan ideologi, propaganda serta menarik penyertaan anggota baharu merentasi sempadan dan demografi seperti tersiar di media.
Kandungan ini boleh disebarkan melalui media sosial dan platform dalam talian lain dengan cepat dan meluas, mempengaruhi pengikut serta menarik orang lain ke dalam agenda radikal ditentukan pengganas.
Percampuran antara maklumat betul dan salah secara besar-besaran akan mengelirukan masyarakat, sekali gus merosakkan kepercayaan awam terhadap sumber maklumat sahih.
Kekacauan ketenteraman awam di United Kingdom (UK) berikutan manipulasi media sosial atas satu pertuduhan jenayah menyebabkannya menular di banyak kawasan negara itu, berpunca daripada kekeliruan masyarakat terhadap ketepatan maklumat. Ia banyak dilakukan AI untuk menggugat kepercayaan masyarakat pada pihak berkuasa.
AI campur adukkan fakta benar dan palsu
Antara contoh lain, tindakan penyedia perkhidmatan menurunkan beberapa hantaran sokongan kepada rakyat Palestin.
Teknologi AI berupaya mencampuradukkan fakta benar dan palsu sehingga mengelirukan fakta. Ini boleh membawa kepada peningkatan ketegangan sosial, ketidakstabilan politik dan ketidakpercayaan terhadap institusi awam.
Bagi menghadapi risiko ini, beberapa langkah perlu diambil. Pertama, adalah menyedarkan orang awam bahaya propaganda AI.
Masyarakat perlu dididik bagaimana mengenal pasti maklumat boleh dipertikaikan dan pentingnya memeriksa fakta dari sumber boleh dipercayai.
Dalam hal ini, penting bagi ibu bapa tidak mengambil mudah aspek mendidik, mengawal dan memantau aktiviti anak di media sosial.
Pengawalan ini penting supaya anak tidak melewati hantaran meragukan, terutama sumber tidak dapat disahkan kebenarannya atau berunsur keganasan.
Selain itu, institusi pendidikan perlu menyediakan modul untuk pendedahan dan setiap ahli masyarakat, terutama pelajar sekolah perlu menamatkan kursus kesedaran itu sebagai sebahagian kurikulum sekolah. Gembleng tenaga muda ini kepada sesuatu bermanfaat kepada masyarakat atau dijadikan petunjuk prestasi tahunan pekerja.
Kedua, kerjasama antara kerajaan, syarikat teknologi dan penyelidik diperlukan untuk membangunkan teknologi pengesanan lebih baik menerusi geran penyelidikan.
Algoritma boleh mengenal pasti deepfake dan kandungan dimanipulasi perlu diadakan, dipertingkatkan dan digunakan untuk memastikan keselamatan serta integriti maklumat dalam talian.
Walaupun demikian, undang-undang dan peraturan perlu dikemas kini untuk menghadapi cabaran baharu ini. Peraturan lebih ketat mengenai penggunaan teknologi AI dalam media dan pengiklanan boleh membantu mengurangkan risiko penyalahgunaan bagi tujuan propaganda pengganas.
Maka, langkah kerajaan mengenakan syarat pelesenan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dilihat langkah sesuai demi memelihara kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara. Tuntasnya, kecanggihan teknologi hari ini boleh memberikan kesan buruk kepada ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat.
Semua pihak perlu sedar dan mengambil tanggungjawab dalam menjaga hal ehwal keselamatan dan kesejahteraan. Kita tidak mahu ‘sudah terhantuk baru terngadah’.
Dalam hal ini juga, pengguna perlu bertanggungjawab kepada setiap kandungan media sosial dimuat naik.
Setiap pengguna media sosial tertakluk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948 serta Akta Pencegahan Keganasan 2015.
Apa yang pasti, manipulasi AI untuk propaganda pengganas adalah isu memerlukan perhatian serius semua pihak.
Mengambil kira potensinya mempengaruhi pendapat awam dan merosakkan masyarakat, penting untuk kerajaan dan masyarakat mengambil langkah proaktif menangani masalah ini. Ambil iktibar dengan apa yang berlaku di luar negara seperti UK. – BH ONLINE
- Penulis adalah Ketua Kumpulan Penyelidikan Keselamatan Siber, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM