Persidangan Dewan Rakyat meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tanpa sebarang pindaan pada jam 5.50 petang tadi (7 Oktober 2021).
Usul itu sebelum ini dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu, disusuli sesi perbahasan yang bermula 28 September hingga Isnin lalu.
Sesi penggulungan RMK-12 pula bermula Selasa, membabitkan 30 menteri dan timbalan menteri dengan penggulungan terakhir dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Berhadapan pandemik COVID-19 di penghujung RMK-11, selain perubahan pimpinan kerajaan, pembentangan RMK-12 dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal pada 6 Ogos tahun lalu kepada Januari tahun ini, sebelum akhirnya dibentang pada minggu lalu.
Usul RMK-12, yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan terbesar berjumlah RM400 bilion berbanding RM260 bilion dalam RMK-11, adalah pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
Ismail Sabri dalam temubual khas berkenaan RMK-12 sebelum ini menjelaskan rancangan lima tahun dengan objektif ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ itu juga dirangka berdasarkan penyatuan dan semangat rakyat yang saling membantu ketika negara berdepan ancaman pandemik COVID-19. – BH ONLINE/BERNAMA/BACALAHMALAYSIA.MY