MalaysiaPilihan Editor

PARLIMEN: Tambah Hukuman Mati & Sebat Ke Atas Pemandu Mabuk Serta Pemanduan Melulu – Cadangan Seorang Ahli Dewan Negara

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Hukuman mati dan sebat !

Itulah saranan dan cadangan seorang Ahli Dewan Negara bagi menambahnilai kepada hukuman pemandu mabuk dan memandu secara melulu bagi menimbulkan kegerunan kepada rakyat terutama pengguna jalan raya di negara ini.

Datuk Razali Idris ketika berbahas Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Negara ini menyatakan ini adalah suatu rang undang-undang yang sangat penting kerana ia melibatkan nyawa, harta benda, keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.

Melalui rang undang-undang ini, beliau menegaskan memperlihatkan suatu hukuman kepada mereka yang berkaitan dalam rang undang-undang ini.

“Seperti kita maklum, pindaan dalam rang undang-undang ini adalah untuk menaikkan penalti dan hukuman bagi kesalahan lalu lintas tertentu termasuklah kesalahan yang berhubungan dengan memandu dengan melulu dan membahayakan dan memandu semasa di bawa pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah.

“Kalau kita fahami dan menghayati betul-betul, ia sangat signifikan seperti mana yang saya katakan awal tadi iaitu melibatkan nyawa, harta benda, keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat,” katanya lagi.

Persoalannya di sini ialah apakah hukuman itu setimpal kepada si pelaku atau apakah hukuman itu berat kepada si pelaku ?

Satu persoalan yang perlu direnung sedalam-dalamnya dan sebagai penggubal undang-undang, perlu ada memberikan suatu perkara ini secara rasional, ada asasnya.

Razali berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan ini perlu atau boleh mengambil kira pandangan Ahli Dewan Negara atau membuat beberapa sedikit adjustment dengan izin andainya ada tambahnilai walaupun ianya sudah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat.

“Kami termasuk saya di Dewan Negara bukan sekadar berbahas dan meluluskan tetapi pindaan di bawah rang undang-undang ini sangat penting untuk masyarakat masa kini dan masa depan.

“Apakah hukuman itu setimpal atau hukuman itu berat ? Di bawah Fasal 3 hingga Fasal 11, saya tidak ada sebarang penolakkan terhadap usaha kerajaan bagi membanteras mereka yang memandu secara melulu dan membahayakan orang lain apatah lagi mereka yang dalam keadaan mabuk di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Memang benar saya melihatnya pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

“Persoalannya sejauh manakah ia akan menimbulkan kegerunan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama pemandu kenderaan ?,” ujar Razali.

Apakah pemandu mabuk dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 adalah memberi suatu kesedaran yang tinggi walaupun  berasakan ia satu langkah tepat pada masanya. Malahan mereka yang disabitkan juga boleh memperlihatkan lesen mereka digantung sehingga 20 tahun.

“Satu permulaan pindaan yang berani tetapi saya hendak mencadangkan adakah boleh penjara maksimum itu boleh dikenakan sehingga hukuman mati jua ?

Banyak kes membabitkan pemandu mabuk dan memandu secara melulu ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa.

Kata Razali, bukannya maksud dalam hal ini, nyawa dibalas dengan nyawa tetapi apabila seseorang itu sudah mengetahui mereka ini yang minum alkohol atau menyalahgunakan dadah, sudah tentu mengetahui akan akibatnya dan perkara ini sudah ada niatnya.

“Mungkin akan timbul dalam soal perundangan, membunuh tanpa niat atau niat diterjemahkan dalam mahkamah kelak tetapi kita selaku penggubal undang-undang sudah menjadi satu tanggungjawab besar untuk meluluskan dengan menyertakan kelulusan dalam pindaan itu mesti ada satu hukuman yang sangat berat dan setimpal !

Umpamanya hukuman mati seperti yang saya sebutkan, sudah tentu ia memberi satu impak yang besar dan ditakuti, digeruni oleh sesiapa pun. Hukuman berat sangat penting bukan untuk kita menghukum tetapi inilah pendekatan pendidikan – cegah sebelum parah, rawat sebelum sakit.

 

Di samping itu Razali sebelum mengakhiri perbahasan bagi pindaan rang undang-undang ini yang dianggap sangat penting, turut juga mencadangkan selain hukuman mati dikenakan, hukuman sebat juga perlu dimasukkan sebagai tambahan hukuman berat selain penjara maksimum 20 tahun.

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close