Pemimpin BERSATU Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini terutama di Sabah, dan demi kepentingan negeri, perpaduan selain memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.
“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini, kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.
“Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – BERNAMA