MalaysiaPilihan Editor

Pemimpin Digesa Contohi Pemikiran Strategik Nabi Muhammad SAW – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam terutama pemimpin wajar mencontohi pemikiran strategik Nabi Muhammad SAW dalam mencapai transformasi ketika berhadapan pelbagai dugaan, cabaran dan halangan.

Baginda bertitah, pemikiran strategik Rasulullah SAW yang memperkenalkan langkah inovatif hingga berjaya menyatukan puak berselisih menjadi ummah yang bersatu, patut dijadikan sebagai panduan dan pedoman sekali gus membolehkan syiar Islam berkembang dengan menakjubkan.

Titah baginda, kejayaan Rasulullah SAW membentuk nilai kemanusiaan sejagat juga hendaklah dijadikan pegangan oleh pemimpin semasa dengan mencontohi kepimpinan berwawasan serta hikmah baginda hingga berupaya melakukan transformasi.

“Strategi Rasulullah SAW yang pernah menghasilkan kejayaan hendaklah dikaji, diterokai, dan diadaptasi dalam mengharungi dunia yang semakin menghadapi konflik dan dilanda perpecahan, untuk menawarkan harapan baharu bagi mendapat pengajaran dan panduan berharga untuk urusan penyelesaian konflik.

“Mengamati sirah, ternyata Rasulullah SAW seorang strategis, bijak merancang, melaksana, menilai dan mengambil langkah penambahbaikan hingga risalah Islam berjaya disebarkan dengan pesat dan meluas,” titah baginda sewaktu Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Perak di Casuarina @Meru, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, empat pendekatan strategik pemikiran dan tindakan yang diamalkan Rasulullah SAW, dipilih untuk difokuskan iaitu tidak gopoh menyampaikan mesej Islam secara terbuka, mengatur strategi hijrah, memahami pentingnya penyatuan dan perpaduan, serta menerusi perjanjian perdamaian iaitu Perjanjian Hudaibiyah.

Titah baginda, Rasulullah tidak terburu-buru terus mengisytiharkan bumi Makkah ditadbir urus berpaksikan Islam, sebaliknya Baginda terlebih dulu meneliti suasana dan persekitaran lalu memilih pendekatan paling sesuai dengan memperkenalkan Islam pada peringkat awal melalui gerakan dakwah yang dilakukan secara sulit.

“Pendekatan berhati-hati dan tidak gopoh dipilih atas kesedaran Baginda bahawa cetusan perkara baharu memerlukan masa untuk mendapat pemahaman sebelum dapat diterima dan dihayati. Ummah perlu mengambil iktibar akan pentingnya memiliki sifat sabar dan gigih ketika memperkenalkan sesuatu perkara baharu.

“Memikirkan pendekatan strategik supaya perkara baharu yang mahu diperkenalkan dapat disampaikan secara terang dan dijelaskan secara berkesan supaya benar-benar difahami sebelum diterima. Manusia memerlukan fahaman yang jelas dan masa yang munasabah sebelum dapat menerima dan menghadamkan perkara baharu,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah, pendekatan strategik Rasulullah SAW yang seterusnya adalah dengan meyakinkan pengikut bukan sahaja meninggalkan anutan spiritual terdahulu, tetapi turut berjaya meyakinkan mereka untuk bersedia secara fizikal meninggalkan berhijrah kampung halaman di Makkah ke Madinah.

Baginda bertitah, memahami kepentingan penyatuan dan perpaduan, Rasulullah SAW seterusnya berjaya menyatukan puak Ansar bersama Muhajirin sebaik sampai di Madinah, disusuli strategi membina kesatuan ummah yang kukuh dan menjalinkan kerjasama dengan penduduk pelbagai latar dengan pengenalan kepada Piagam Madinah.

“Piagam Madinah, berperanan sebagai kitab rujukan pemerintahan bertulis yang tersurat memberi jaminan dan perlindungan secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terdiri daripada pelbagai kabilah, kaum dan agama. Ianya perlembagaan bertulis pertama dalam sejarah berkerajaan yang tidak ada duluan.

“Menggubal sebuah piagam bertulis adalah pembaharuan, memperkenalkan instrumen pemerintahan berbentuk undang-undang bertulis yang dapat menyuratkan untuk bacaan, penelitian dan fahaman umum, apa juga yang tersirat dalam pemikiran pemerintah. Sesungguhnya penggubalan Perlembagaan Madinah melambangkan produk daripada pemikiran yang strategik,” titah baginda.

Titah baginda lagi, Rasulullah SAW berpendirian kesatuan ummah dan hubungan kerjasama penduduk yang pelbagai kaum dan anutan agama merupakan asas dan prasyarat untuk membangunkan sebuah negara yang aman dan makmur.

Menyentuh pendekatan strategik keempat pemikiran dan tindakan Rasulullah SAW, Sultan Nazrin bertitah, Perjanjian Hudaibiyah boleh dianggap sebagai fasa ketiga dalam gerakan memberikan kemenangan besar kepada umat Islam tanpa melalui peperangan.

“Baginda memilih perdamaian daripada persengketaan dan perundingan daripada perbalahan meskipun kelihatan mengalah secara luaran untuk jangka masa pendek tetapi menghasilkan kemenangan secara dalaman bagi jangka masa panjang.

“Daya pemikiran strategik menjadi kunci kejayaan Baginda ketika mengatur langkah untuk mengembangkan Islam setelah diangkat bertaraf Rasul, demikian juga ketika mentadbir urus negara dan memimpin angkatan perang.

“Melalui pemikiran strategik yang dimiliki dan tindakan strategik yang diamalkan, Rasulullah SAW telah mencapai pelbagai kejayaan,” titah Sultan Nazrin.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak yang memilih tema ‘Minda Strategik Pencetus Ummah Dinamik’, bermakna minda yang memberi fokus kepada hasrat mahu dicapai, minda berfikiran ke hadapan, bersifat proaktif dan melengkapkan diri agar lebih bersedia menghadapi cabaran.

“… disamping memikirkan penyelesaian menghadapi cabaran menghalang, serta bijak merebut peluang terhampar, minda yang strategik akan berani membawa diri melangkah keluar daripada norma biasa, melihat sesuatu situasi melalui lensa lebih luas.

“Minda yang strategik akan melakukan analisis dan perancangan, mencetus idea baharu ke arah mencapai matlamat, agar dapat berkembang maju dalam persekitaran berubah lagi kompetitif,” titah baginda. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close