PETRONAS dan Malayan Banking Bhd (Maybank) ialah jenama Malaysia yang paling bernilai dari segi persepsi kemampanan, menurut laporan sulung Sustainability Perceptions Index 2023 oleh Brand Finance.
PETRONAS juga menduduki tempat pertama dalam kalangan jenama ASEAN yang ada dalam senarai termasuklah jenama isi rumah seperti Viettel, DBS Bank, PTT dan Telkom Indonesia.
Penyelidikan oleh Brand Finance itu menunjukkan bahawa PETRONAS mencatat markah yang tinggi dalam tonggak Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang berkaitan dengan komitmen untuk melindungi alam sekitar semula jadi, serta menyokong komuniti dan masyarakat yang lebih luas, dicerminkan dalam perjalanan kemampanan jenama itu sepanjang dua dekad yang lalu termasuk penerokaannya ke dalam tenaga yang lebih bersih dan boleh diperbaharui.
“PETRONAS dan Maybank berada dalam kedudukan optimum untuk melakukan ini melalui aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan selaras dengan agenda kemampanan Malaysia. Penyelidikan kami menyokong usaha ini dalam mendapati bukan sahaja perhatian yang besar terhadap mereka tetapi ia juga menjana nilai yang signifikan untuk kedua-dua jenama itu,” katanya.
Kajian yang pertama kali seumpamanya, laporan itu dikeluarkan di Davos semasa Forum Ekonomi Dunia, bersama-sama dengan Persatuan Pengiklanan Antarabangsa.
Ia mendedahkan nilai kewangan persepsi kemampanan jenama terbesar di dunia dan menyenaraikan 500 jenama paling berharga di dunia dari segi nilai persepsi kemampanan. – -BERNAMA