Pan Malaysia Corporation Bhd (PMC) bercadang untuk membeli baki 49 peratus kepentingan ekuiti dalam pengendali rangkaian makanan segera, A&W (Malaysia) Sdn Bhd daripada Inter Mark Resources Sdn Bhd, terdiri daripada 30.38 juta saham biasa, pada harga RM69.45 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata pembelian itu akan dimuktamadkan melalui gabungan pembayaran tunai RM41.67 juta dan terbitan 111.13 juta saham biasa dalam PMC pada harga terbitan 25 sen sesaham.
“Berdasarkan pandangan positif pasaran makanan segera di Malaysia, lembaga pengarah optimis terhadap prospek jangka panjang dan prospek kumpulan A&W dan berpendapat cadangan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan PMC,” katanya.
Sebelum ini, pada 23 September 2021, PMC memeterai perjanjian jual beli dengan Inter Mark untuk membeli 31.62 juta saham A&W Malaysia, mewakili 51 peratus kepentingan ekuiti dalam A&W Malaysia pada harga RM21.04 juta.
Tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang berkaitan, cadangan pembelian itu dijangka selesai pada suku pertama 2024. -BERNAMA