Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dari PAS yang mahu mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman akan ditentang calon BN dalam saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Disember ini.
Keputusan calon layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman sebentar tadi.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai.
Ahmad Samsuri menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi manakala Raja Mohamed Affandi menyerahkan borang berkenaan pada jam 9.08 pagi.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15.
Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman Terengganu pada 2 Disember ini, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November.