Kedai Runcit

Semangat Keusahawanan Tidak Mengenal Usia: Warga Emas OKU Terima Bantuan Motosikal Roda 3 di Parlimen Batu Gajah

Inisiatif “Batu Gajah Prihatin” telah membuka jalan seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) untuk terus gigih menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Parlimen Batu Gajah.

Berkat kesabaran berniaga tanpa menghiraukan status sebagai OKU telah mencuit hati Ahli Parlimen Batu Gajah, Tuan V Sivakumar untuk membantu Chang Thiam Loy dengan memberi sumbangan sebuah motosikal roda tiga.

Menerusi semangat Malaysia Madani yang menekankan keprihatinan dan keterangkuman, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah terus memastikan Chang terus gigih menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Chang, 68, yang menghadapi cabaran mobiliti, menyatakan kegembiraannya menerima bantuan ini. “Saya amat bersyukur dan gembira. Motosikal ini akan memudahkan pergerakan saya untuk menjalankan perniagaan dan menyara keluarga,” ujar beliau.

Sivakumar yang hadir sendiri menyerahkan motosikal tersebut, memuji semangat luar biasa Chang walaupun beliau adalah seorang warga emas dan OKU.

Kata Ahli Parlimen Batu Gajah,  Chang adalah contoh terbaik semangat Malaysia Madani.

“Walaupun menghadapi cabaran, beliau tetap mahu berdikari dan menyumbang kepada masyarakat. Ini adalah teladan yang patut dicontohi oleh generasi muda kita,” kata Sivakumar.

Di Malaysia, seramai 691,630 OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga 31 Januari 2024. Daripada jumlah itu, seramai 117,092 OKU adalah terdiri daripada mereka yang berumur 19 hingga 45 tahun. Lingkungan umur ini boleh dikatakan mereka masih mempunyai keupayaan untuk bekerja dengan baik, dari sudut fizikal, mental atau dengan menggunakan keupayaan yang sedia ada.

Program bantuan ini adalah sebahagian daripada inisiatif “Batu Gajah Prihatin” yang dilancarkan awal tahun ini, bertujuan untuk memperkasakan golongan OKU dan warga emas di kawasan parlimen tersebut.

Setakat ini, program ini telah membantu lebih 200 individu dengan pelbagai bentuk bantuan termasuk peralatan mobiliti, bantuan perniagaan, dan latihan kemahiran.

“Kerajaan Madani komited untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam arus pembangunan negara.

“Kami akan terus berusaha untuk menyediakan peluang dan sokongan kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan,” tambah Sivakumar.

Di samping itu,  Chang berharap kisahnya akan menginspirasi lebih ramai warga emas dan OKU untuk terus aktif dan produktif.

“Usia dan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk kita terus menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya penuh semangat.

Program ini juga mendapat sokongan daripada beberapa syarikat swasta tempatan yang menyumbang dalam bentuk pembiayaan dan kepakaran teknikal. Ini menunjukkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close