Fokus pasaran dan pelabur ketika ini tertumpu kepada siapakah yang bakal menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan dan meneruskan agenda pemulihan ekonomi negara, demikian mengikut penganalisis dan ahli ekonomi tempatan.
Menurut mereka, secara umumnya, pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tokoh perbankan dan pasaran modal yang bukan ahli politik, sebagai Menteri Kewangan dalam kerajaan sebelum ini seolah-olah telah menetapkan penanda aras dari segi profesionalisme, kepakaran dan kelayakan bagi jawatan berkenaan.
Turut menjadi tumpuan adalah menteri yang memainkan peranan utama dari segi proses pemvaksinan seperti dilaksanakan oleh bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin.
Penganalisis Maybank IB Research, Anand Pathmakanthan, berkata Penyusunan Kabinet baharu perlu seimbang dengan pelbagai kepentingan dengan pasaran terutamanya tertumpu kepada siapa Menteri Kewangan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ciri Menteri Kewangan yang diperlukan dalam Kabinet baharu sebaiknya adalah individu yang memahami selok-belok berkenaan pasaran modal.
“Disamping itu juga, beliau perlu prihatin dengan permasalahan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan dan keseimbangan pembangunan antara wilayah ekonomi.
“Umumnya, Menteri Kewangan adalah seorang yang begitu versatil dalam merencana dan melaksana agenda pembangunan rakyat dan negara,” katanya.
Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi), Nazarry Rosli pula berkata, peserta pasaran memberi tumpuan dan menantikan siapakah yang akan menerajui dua kementerian penting dalam tempoh pandemik ketika ini.
Ini kerana, katanya, dua jawatan penting itu yang turut menerajui tugas Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memiliki kaitan yang cukup besar dalam pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Pemerhati pasaran menanti penuh minat siapakah yang akan dipilih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menerajui dua kementerian terpenting ini kerana ia menentukan momentum pemulihan ekonomi dan langkah menangani penularan COVID-19,” katanya.
Mengulas lanjut, Nazarry berkata, secara peribadinya, Tengku Zafrul dan Khairy dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk kekal dengan jawatan di dua kementerian itu.
Katanya, kedua-dua bekas menteri itu telah menunjukkan prestasi terbaik sebelum ini, selain membuktikan mereka adalah golongan muda dan bertenaga untuk membantu negara menyelesaikan dua masalah besar yang memiliki kaitan antara satu sama lain.
“Sebagai contoh, pelantikan Tengku Zafrul, tokoh perbankan dan pasaran modal yang bukan ahli politik sebagai Menteri Kewangan dalam kerajaan sebelum ini seperti menetapkan penanda aras mengenai profesionalisme, kepakaran dan kelayakan bagi jawatan berkenaan.
“Justeru, pelantikan semula Tengku Zafrul dan Khairy wajar dipertimbangkan untuk meneruskan kelangsungan pemulihan yang telah diperoleh. Jika kerajaan pimpinan Ismail Sabri ingin melantik orang lain, kerajaan perlu cari yang lebih baik daripada dua figura ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, jika kerajaan bercadang melantik calon lain bagi jawatan itu, mereka perlu memiliki beberapa kriteria khusus untuk memastikan semua pihak termasuk pelabur dan pasaran kekal yakin dengan prospek pemulihan negara.
“Pertama, seorang itu perlu memahami pemasalahan semasa dari peringkat paling bawah sehingga paling atas pada rantaian ekonomi negara. Kedua, seorang yang boleh membantu memberi idea bernas dan membantu dalam pelaksanaan idea terbabit.
“Ketiga, seorang yang boleh membantu Malaysia menarik semula minat pelabur asing untuk melabur di Malaysia dengan memberi insentif yang akan menguntungkan kedua belah pihak dan terakhir, seorang yang mempunyai pengalaman luas dari latar belakang kewangan dan ekonomi.
“Dari aspek COVID-19 pula, seorang itu perlu memiliki ketegasan untuk membantu dari sudut pelaksanaan melawan wabak ini,” katanya. – BH ONLINE