Bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dipilih sebagai Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMM Labuan) yang dihidupkan semula pada mesyuarat hari ini.
Pemilihannya oleh 54 anggota baharu dan lama DPMM Labuan, turut disaksikan oleh Timbalan Presiden DPMM Pusat Norsyahrin Hamidon dan Naib Presiden Amirhamzah Karim.
Suhaili menyifatkan pelantikannya sebagai satu tanggung jawab besar bagi menyatukan usahawan tempatan selain mempromosikan pembangunan sosioekonomi Labuan.
DPMM sebelum ini dikenakan tindakan penggantungan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) membabitkan isu mesyuarat agung tahunannya pada Julai 2019 tetapi arahan itu ditarik balik pada September.
Selain itu ketika mengulas harapannya terhadap usahawan di pulau bebas cukai itu, Suhaili berkata anggota DPMM Labuan tidak hanya harus memiliki lesen tetapi pada masa sama turut mempunyai operasi dan premis perniagaan.- BERNAMA