Pilihan EditorTurun Naik

Wang Dan Kemasyhuran- Youtube Jadi Pilihan

Oleh Shanika Abdullatib dan Disunting oleh Rafe áton Md. Ali

 

 KEHIDUPAN normal baharu ditambah pula situasi sosial dan ekonomi global yang tidak menentu, menyaksikan manusia menjadi semakin kreatif dalam menjana pendapatan melalui pelbagai platform media sosial, seperti Facebook (FB), Instagram dan Youtube.

Tidak dinafikan Youtube antara laman web yang paling popular dan mudah untuk menjana wang kerana sesiapa sahaja dibenarkan untuk memuat naik, menonton, menilai, berkongsi dan memberi komen kepada pelbagai genre kandungan video yang dihasilkan.

Hanya dengan cara menzahirkan bakat dan mempersembahkan kreativiti dalam laman web itu dan kata kuncinya – viral (tular), ia mampu menjana wang atau ‘menggemukkan dompet’ sesiapa sahaja.

Hakikatnya, tiada peraturan khusus dalam mencipta dan memuat naik kandungan video ke platform media sosial ini yang bakal ditonton segenap lapisan masyarakat dari seantero dunia.

Wang dan kemasyuran- siapa yang tidak mahukannya?

Bagi pelakon, penerbit, pengacara dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor, 53, atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, peralihan dunia hiburan daripada televisyen ke media sosial seperti Youtube perlu diterima ​keran​​a ia mampu menjadi platform terbaik ​bagi art​is dan​ masyarakat marhean mempersembahkan bakat mereka, sekali gus dapat memastikan mereka memperoleh pendapatan berterusan.

“Kita tidak boleh lari daripada perubahan ini. Bersedia atau tidak, artis Malaysia​​ kena ​​buat (hadapi)​. Jika tidak, mereka akan ketinggalan malah, ia boleh menjejaskan pendapatan​,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Rosyam yang juga Penerbit dan Pengarah Urusan syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd mengakui bahawa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), belum ada pengambaraan filem atau drama yang betul-betul dibuat selepas PKP dan ini sudah tentu menjejaskan pendapatan golongan artis.

Tambahnya, dengan situasi semasa dan penularan wabak COVID-19 yang belum berkesudahan serta pelaksanaan pelbagai fasa PKP,​ ia menuntut golongan artis menterjemahkan kreativiti mereka untuk santapan penonton di Youtube melalui “saluran’’ sendiri.

“Kalau dulu, artis terpaksa menunggu tawaran ​dan ​peluang ​untuk ​berlakon dari pihak stesen televisyen, penerbit filem atau drama, tetapi hari ini, jika mereka fikir ada bakat dan idea, mereka berhak membuat program sendiri. Hanya gunakan telefon bimbit,” katanya yang pernah merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 pada 2008.

Anjakan sebegini, menurut Rosyam memberi peluang kepada artis untuk menterjemahkan apa jua kandungan atau program yang sesuai dengan kepandaian, jiwa​ dan kreativiti mereka.

Selain itu, ia juga dapat mencabar diri sendiri untuk melihat sama ada hasil karya mereka itu mendapat sambutan atau pun tidak.

Apa yang penting, ia tidak melanggar garis panduan yang dikenakan syarikat Youtube yang berpangkalan di San Bruno, California, Amerika Syarikat itu.

Membuktikan perkara itu mampu direalisasikan, Rosyam telah menterjemahkan kreativiti beliau ke dalam dunia lakonan dan penerbitan filem dengan menghasilkan filem pendek berjudul Warung Kami yang disiarkan menerusi Youtube pada Ogos 2019.

Warung Kami berdurasi lapan minit itu diinspirasikan daripada perjalanan kisah hidup Rosyam yang berdepan pelbagai dugaan dan realiti kehidupan ketika mula membuka perniagaannya, ST Mart dan digarap dengan kerjasama Pengarah Urusan Sri Ternak Group of Companies, Datuk Raymond Ho.

CABARAN, HILANG HAK EKSKLUSIF

Pun begitu, Rosyam memberi peringatan bahawa ​cabaran sebagaiYoutuber amatlah besar memandangkan persaingan bukan hanya berada dalam negara tetapi di seluruh dunia.

“Selagi ada kemudahan Internet dan telefon bimbit, sesiapa saja mampu menghasilkan ​​footage​ (bahagian filem) dan menyiarkannya di Youtube,” katanya menambah tidak dinafikan hampir setiap minit ​akan ada​ kandungan baharu disiarkan dalam Internet.

Justeru, persaingan​ dalam platform ini amat besar dan mencabar namun pada masa sama, ia me​ncetuskan ​daya kreativiti​,​ pengalaman dan persaingan yang hebat, katanya.

Malah, Rosyam turut menjelaskan ​penggiat seni tidak lagi boleh meletakkan diri mereka sebagai artis apabila memasuki medium Youtube.

“Mereka perlu bersedia hilang ​untuk​ ‘hak eksklusif’ ​sebagai artis ​kerana​ perlu bersaing​ ​dengan orang biasa yang turut mempunyai bakat dan kebolehan.

“Di pentas Youtube, persaingan adalah adil … masing-masing perlu bersaing untuk mendapatkan viewer (penonton). Tiada viewer, tiada pendapatan,” kata Rosyam menambah kelebihan artis kerana mereka sudah pun mempunyai nama dan pengikut sebelum menjadi Youtuber.

Rosyam juga tidak menafikan peranan stesen televisyen semakin hilang taringnya dan akan kurang popular pada masa akan datang, kerana peralihan zaman yang menyaksikan generasi muda memilih menonton melalui telefon bimbit.

“Stesen televisyen juga mungkin akan mengalami fasa yang sama seperti apa yang berlaku dalam industri surat khabar,” katanya sambil mengakui bahawa rata-rata stesen televisyen sudah melakukan persiapan termasuk memuat naik program pilihan mereka ke platform Youtube.

Dalam pada itu, Rosyam berpendapat trend pembelian iklan di televisyen yang semakin menurun turut menyumbang peralihan ke laman Youtube atau media sosial yang lain.

“Ini berlaku kerana pengiklanan di​ laman Youtube atau FB lebih murah dan kerap di paparkan. Malah, iklan di Youtube disasarkan tepat pada pelanggannya kerana mempunyai data bagi setiap penggunaan atau layaran laman.

“Data ​tidak menipu kerana ia berdasarkan kepada kekerapan pengguna Internet membuat layaran dalam mencari apa yang mereka suka. Jadi, setiap layaran ini akan menjadi ​track record​ ​ kepada penyimpan data, yang kemudiannya dijual kepada pengiklan,” katanya.

Turut senada dengan anjakan dalam dunia seni dan hiburan ialah Pengarah Urusan Les’Copaque Production Burhanuddin Md Razi yang menyifatkan peralihan pemilihan platform tontonan kepada Internet bukanlah sesuatu yang aneh memandangkan televisyen bukan lagi menjadi utama masyarakat untuk mendapatkan content siaran.

Pengasas bersama syarikat penerbitan filem animasi pecah panggung siri Upin dan Ipin itu berkata, kehadiran platform Youtube mungkin menjadi penyelesaian terbaik buat penggiat seni memasarkan produk mereka waktu ini.

“Sebelum PKP, kebanyakan studio animasi di Malaysia banyak bergantung pada stesen televisyen untuk menjana pendapatan. Bagaimanapun, situasi berubah pada 2018 apabila kebanyakan stesen televisyen mula ‘goyang’.

“Jadi, mereka tak nak lagi membeli animasi tempatan kerana dikatakan mahal, sekurang-kurangnya RM25,000 hingga RM40,000 untuk setengah jam siaran program berbanding hanya sekitar RM15,000 untuk animasi luar negara yang dijual oleh pemegang lesen,” jelas Burhanuddin.

Justeru, apabila Youtube mula membayar kepada pengkarya-pengkaryanya pada 2018, medium ini terus menjadi platform pilihan dalam menyiarkan karya produksi mereka, katanya.

Mengulas lanjut, Burhanuddin mengakui bahawa populariti Upin dan Ipin yang turut tertempias hingga ke Indonesia, memberi nafas lega pada produksi syarikat dalam menjana pendapatan sepanjang PKP lalu.

“Youtube akan beri bayaran bagi ​rancangan ​yang ramai orang tengok. Macam Upin Ipin, viewer mencapai 4 bilion manakala subscribers (langganan) pula mencecah 4 juta penonton di seluruh dunia.​

“Walaupun tidak ada siaran di televisyen, produksi animasi ini masih dapat menjana pendapatan bagi menampung operasi mereka,” katanya. — BERNAMA

 

  • Penulis dan penyunting adalah pengamal media di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close