Kedai RuncitPoster GrafikTurun Naik

Warong Rider Bantu Penjaja, Peniaga Kecil Kembang Perniagaan

Oleh Muhammad Basir Roslan

 

Bayangkan perlu membayar RM12 hingga RM15 untuk caj penghantaran sebotol sambal ikan bilis berharga RM15, yang dipesan secara dalam talian dari peniaga kecil yang menjalankan perniagaan dari rumah pada jarak kira-kira 10 kilometer.

Produk yang dibeli mungkin sedap tetapi realitinya bukan semua orang mampu membayar pada harga RM27 hingga RM30 untuk mendapatkan sebotol sambal.

Di samping itu, caj agak tinggi yang dikenakan kebanyakan platform penghantaran pada masa sama turut tidak menggalakkan pengguna membeli dari peniaga kecil sama ada mereka yang menjalankan perniagaan dari rumah, penjaja mahu pun pengusaha gerai yang produk mereka juga sebenarnya boleh didapati secara dalam talian.

 

MENDIDIK PENIAGA KECIL

 


Kelebihan pembeli yang menggunakan perkhidmatan Warong Rider. warongrider.com

 

Warong Rider, platform yang menawarkan khidmat penghantaran bagi penjaja dan peniaga kecil adalah inisiatif SME Corporation Malaysia (SME Corp) – sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Program Micro Connector dengan kerjasama Persekutuan Penjaja dan Persatuan Peniaga Kecil Malaysia (GPPPKMM).

Platform ini mengenakan caj penghantaran pada kadar RM2 untuk kilometer pertama dan 80 sen bagi setiap kilometer berikutnya.

Dirasmikan pada 18 November tahun lepas ia kini mempunyai lebih daripada 300 ‘rider’ atau penunggang yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ia juga telah mula beroperasi di Perak, Johor, Selangor dan Melaka serta mensasarkan 11,000 penunggang di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nadzri Kamarulzaman berkata antara kelebihan platform ini ialah khidmat talian sokongan 24 jam setiap hari serta perkhidmatan yang beroperasi di seluruh negara meliputi kesemua 222 parlimen.

“Apa yang membezakan kami dengan perkhidmatan penghantaran lain ialah kami memberi tumpuan untuk membantu penjaja dan peniaga kecil termasuk perniagaan dari rumah, gerai yang beroperasi di tepi jalan dan petani yang berniaga di pasar malam,” katanya kepada Bernama.

Merancang mewujudkan pemain industri makanan dan minuman sendiri dalam ruang lingkup yang lebih besar, beliau berkata ia secara tidak langsung akan menggalakkan peniaga kecil untuk bergabung sekali gus memasar dan membina jenama produk mereka sendiri.

 


Platform Warong Rider telah dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada tahun 2020. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

“Dengan kaedah ini peniaga kecil-kecilan seperti penjaja dan mereka yang berniaga dari rumah dapat mengetengahkan kewujudan produk makanan dan minuman mereka kepada pengguna,” katanya sambil menambahkan terdapat banyak manfaat lain yang akan diperoleh golongan itu.

“Di bawah platform ini, kita adalah pemilik kepada perkhidmatan penghantaran sementara penjaja dan peniaga kecil dapat mendidik diri mereka dalam hal-hal berkaitan dana, jualan, pemasaran dan pengurusan perniagaan untuk manfaat perniagaan bagi tempoh jangka pendek atau panjang,” katanya.

Sebagai permulaan, Mohd Nadzri berkata Warong Rider menggalakkan peniaga-peniaga kecil untuk terus menjaga dan memantau prestasi jualan mereka melalui sistem maklumat yang disediakan.

“Mereka dapat melihat sendiri data jualan dan kewangan mereka untuk memeriksa prestasi harian, mingguan dan bulanan… di samping itu juga asas perakaunan turut disertakan dalam aplikasi kami.

“Untuk perancangan jangka masa panjang, mereka boleh mengembangkan operasi dengan mempertimbangkan prestasi perniagaan berdasarkan maklumat dan data yang dipantau bagi merencana strategi perniagaan,” katanya.

 

FASA PERTAMA

Untuk fasa pertama, Warong Rider mensasarkan sekurang-kurangnya 20 orang penunggang ditempatkan di setiap 222 parlimen. Ia diharap dapat membantu menjadi pemudahcara kepada penjaja dan peniaga yang terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung.

Selain makanan dan minuman, Warong Rider turut menghantar barang dan dokumen. Aplikasi mudah alihnya juga membolehkan pelanggan membeli barangan runcit dan produk farmasi secara dalam talian.

Mohd Nadzri berkata selain khidmat talian yang beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu, semua penunggang platform itu akan diberi ‘starter kit’ masing-masing yang mengandungi beg penghantaran, beg poket dan pakaian seragam bernilai RM250.

 


Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 18 November lepas dilaporkan berkata program itu akan membiayai sebahagian kos penyertaan belia B40 dan penunggang yang menyertai platform berkenaan akan dibekalkan dengan kit permulaan terdiri daripada beg penghantaran serta pakaian seragam bernilai RM250, yang mana 70 peratus kos tersebut dibiayai oleh SME Corp.

“Warong Rider ini bukan sahaja bertujuan membantu usahawan dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil dalam menggunakan perkhidmatan mereka malah menjana peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya belia yang terjejas akibat pandemik COVID 19,” katanya.

Tambah beliau, semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, SME Corp melalui Program Micro Connector telah memperuntukkan dana kira-kira RM875,000 kepada 5,000 penunggang yang bakal menawarkan perkhidmatan penghantaran mereka.

Mengulas mengenai peruntukan itu, Mohd Nadzri berpendapat lebih banyak dana perlu diperuntukkan bagi membantu perniagaan kecil di seluruh negara termasuk peniaga-peniaga di luar bandar untuk beralih kepada platform digital dan menjual produk mereka di platform e-dagang.

“Peruntukan ini banyak membantu rakyat khususnya golongan peniaga kecil-kecilan, penjaja dan penunggang. Namun GPPPKMM turut berharap lebih banyak bantuan bersasar dapat dilaksanakan demi memastikan nasib penjaja dan peniaga lebih terbela kerana masih ramai yang terjejas teruk sejak COVID-19  dan amat memerlukan bantuan serta sokongan modal,” katanya.

 

KEMUDAHAN APLIKASI

 


Kamarul Nizam Razak, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang (Pasarmalam SAK). — Gambar ihsan Fatimah Hamid

 

Berkongsi pandangan, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang (Pasarmalam SAK) Kamarul Nizam Razak berkata perkhidmatan dan harga bayaran penghantaran yang ditawarkan platform Warong Rider adalah berpatutan dan amat membantu golongan peniaga kecil di rumah atau pun pasar malam.

“Selain tiada yuran pendaftaran dikenakan bagi peniaga berdaftar, harga perkhidmatan penunggang juga jauh lebih murah berbanding caj perkhidmatan yang ditawarkan platform penghantaran lain.

“Platform beginilah yang diperlukan ketika negara dilanda krisis pandemik kerana ramai pihak ingin membuat penjimatan daripada pelbagai segi terutama dari aspek kos penghantaran barangan yang perlu ditanggung,” katanya.

 


Pengurus Warong Rider Kuala Lumpur dan Selangor, Fatimah Hamid (tengah) berkata beliau melihat wujudnya satu trend peningkatan yang sangat signifikan dari segi permohonan kerja sebagai ‘rider’ dikalangan orang ramai bagi platform Warong Rider. — Gambar ihsan Fatimah Hamid

Sementara itu Pengurus Warong Rider Kuala Lumpur dan Selangor Fatimah Hamid berkata wujudnya peningkatan yang signifikan terutama selepas beberapa siri pelaksanaan PKP dari segi permohonan kerja sebagai penunggang terutama daripada golongan belia remaja bawah umur 35 tahun.

“Daripada lebih 300 orang penunggang yang saya uruskan meliputi Selangor dan Kuala Lumpur ramai antara mereka muda-muda belaka.

Ini menunjukkan pekerjaan sebagai penunggang ini sebenarnya mendapat sambutan menggalakkan.

Masyarakat juga semakin menghargai golongan ini kerana kebanyakan urusan hari ini dilakukan secara dalam talian dan jumlah penunggang yang lebih ramai amat diperlukan.

“Jadual kerja sebagai penunggang melalui platform ini juga sangat fleksibel. Sekiranya ingin bekerja secara sepenuh masa, mereka cuma perlu melepasi tempoh percubaan selama tiga bulan dan mencapai sasaran 600 pesanan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Aplikasi telefon bimbit Warong Rider berfungsi secara dua hala dan mempunyai tiga aplikasi iaitu User, Merchant dan Rider.

Mereka yang sudah berdaftar dan memuat turun aplikasi berkenaan di Google Playstore atau iOS App Store atau di laman sesawang www.warongrider.com boleh memesan penunggang berdekatan untuk menghantar pesanan atau boleh membuat penyambungan dengan platform servis penghantaran lain seperti cmsa.my menerusi fungsi Application Programming Interface (API).

Di samping itu, peniaga dan penjaja berdaftar juga akan menikmati kemudahan lain seperti sistem pembayaran e-Wallet serta boleh menggunakan kemudahan Dashboard yang berfungsi sebagai rekod berniaga dan boleh dicetak untuk dijadikan penyata bank. – BERNAMA

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close